SPECIAL ADS

27 Januari 2014

Satu kejutan kalau Anwar jadi MB Selangor

28 Jan : Sekiranya tepat ramalan media massa mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan seterusnya mengambil alih jawatan menteri besar Selangor, implikasinya sangat menarik.
Hal ini menjadi bahan spekulasi hangat berikutan pertemuan panjang (dikatakan empat jam) antara Anwar dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Kajang, Lee Chin Cheh.
Saya menganggapnya sebagai sesuatu yang memeranjatkan dan mungkin tidak semestinya baik bagi Anwar, PKR dan Pakatan Rakyat. Pandangan lanjut saya seperti berikut:
1. Akhirnya Anwar terpaksa mengaku bahawa krisis kepimpinan kerajaan Selangor yang berpunca daripada perebutan kuasa antara Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Mohd Azmin Ali, sudah sampai ke peringkat hidup mati.
2. Krisis itu mungkin tidak meruntuhkan kerajaan PR Selangor, tetapi akan melemahkannya.
3. Ia akan melemahkan kedudukan PKR sebagai perantara PR dan menyebabkan DAP dan PAS memikirkan semula pergantungan mereka kepada PKR sebagai perunding.
4. Walaupun Anwar sangat akrab dengan Azmin dan percaya kepadanya, namun beliau tidak dapat memberikan jawatan MB kepada Azmin selagi Abdul Khalid ada dalam DUN.
5. Walaupun Azmin adalah timbalan presiden yang bersama Anwar hampir tiga dekad, namun dalam parti beliau mempunyai musuh dan Abdul Khalid ada pengikutnya sendiri.
6. Di kalangan Adun daripada PKR, DAP dan PAS, sokongan terhadap Azmin berbelah bagi. Mungkin lebih ramai memihak kepada Abdul Khalid, khasnya di kalangan Adun DAP.
7. Bagi Anwar pula, sekiranya beliau mengambil langkah luar biasa itu, matlamatnya tentu bagi menyelamatkan kerajaan PR Selangor dan menyekat perebutan kuasa antara Abdul Khalid dan Azmin di Selangor daripada merebak ke peringkat nasional.
8. Daripada segi imej, Anwar membuat pengorbanan besar kerana matlamat beliau selama ini – bermula dengan penyertaannya dalam Umno pada 1982 – adalah menjadi perdana menteri.
9. Antara menjadi PM dengan MB Selangor, bezanya sangat besar dan mungkin mencetuskan banyak reaksi negatif. Antaranya ialah beliau bukan kelahiran Selangor dan usianya (66 tahun) adalah agak lanjut bagi seorang MB.
10. Beliau pasti dituduh oleh musuhnya sebagai mengaku kalah dan tidak yakin lagi boleh menjadi PM.
11. Sebaliknya, dengan pilihan raya umum (PRU) masih jauh (kira-kira empat tahun setengah), Anwar mempunyai masa bagi membuktikan kemampuannya mentadbir dan ini boleh menjadi modal untuk PRU.
12. Anwar tentu sedar bahawa ada seakan-akan satu sumpahan ke atas jawatan MB Selangor. Boleh kata tidak ada MB Selangor yang tidak dilanda masalah, kontroversi dan penghinaan. TMI
Wallahualam. – kadirjasin.blogspot.com

Tiada ulasan: