SPECIAL ADS

13 Januari 2014

Kerajaan Selangor bina Horas, pastikan bekalan air kekal

Kerajaan negeri Selangor mula usaha pastikan pengguna terus dapat bekalan air, kata Tan Sri Khalid Ibrahim. Gambar fail.
13 Jan : Kerajaan negeri memulakan usaha bagi memastikan pengguna terus mendapat bekalan air sementara menunggu kerajaan persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) yang bertujuan menyusun semula industri perkhidmatan air di Selangor.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri mengarahkan Pengawal Selia Air Selangor, Datuk Mohamad Roslan Sakiman untuk memulakan projek Horas (Hybrid Off River Augmentation System) di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 Juta Liter Sehari (MLD).
Khalid berkata, dengan adanya Horas ini, rakyat Selangor tidak akan terlalu bergantung kepada projek loji Langat 2 sebagai satu jaminan atau kepastian bahawa pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mendapat bekalan air berterusan.
Beliau berkata, sistem ini melibatkan penakungan stormwater dari Sungai Selangor di kawasan bekas lombong di Bestari Jaya. 
"Berdasarkan data limpahan di Baraj Bestari Jaya, didapati sumber stormwater Sungai Selangor adalah mencukupi ketika berlaku lebihan daripada penggunaan loji-loji di Sungai Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keupayaan takungan ini dianggarkan mencukupi  untuk 4 bulan tanpa aliran dari Sungai Selangor ketika musim kemarau pertengahan tahun.
“Majlis pecah tanah bagi pembinaan Horas ini dirancang diadakan dalam waktu terdekat ini dan kita juga akan menjemput Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk bersama-sama menjayakan projek ini.
"Pada masa sama, kita mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) supaya menyelaraskan pengeluaran lesen air mentah untuk diberikan kepada syarikat milik penuh kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), selari dengan rancangan penyusunan semula industri air Selangor," katanya.
Sehubungan itu, katanya, lesen air mentah yang diberikan kepada syarikat konsesi termasuk Puncak Niaga akan ditamatkan.
"Kita yakin kerajaan persekutuan mampu menguatkuasakan Seksyen 114 WSIA dengan lancar bagi memberi laluan kepada penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri ini," katanya.

Tiada ulasan: