SPECIAL ADS

30 Januari 2014

Pakatan gesa Konsensus Nasional diadakan segera

30 Jan :  Konsensus Nasional antara Pakatan Rakyat dan kerajaan bagi membincangkan soal keselamatan serta masalah rakyat perlu disegerakan.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR petang semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu konsensus itu merupakan langkah terbaik untuk mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlaku terutama membabitkan ketegangan kaum.

"Pakatan Rakyat masih lagi dengan pendirian agar Konsensus Nasional dalam membincangkan perkara-perkara membabitkan soal keselamatan dan masalah rakyat perlu disegerakan.

"Majlis Pakatan memandang ia suatu perkara yang serius dan perlu perbincangan segera kerana kita tidak mahu apa yang berlaku sekarang ini terutama membabitkan soal perkauman terus berpanjangan," jelasnya.

Katanya, perbincangan di dalam konsensus perlu meliputi semua perkara terutamanya membabitkan rakyat dan bukannya kepada isu membabitkan kalimah Allah dan Bible.

Anwar menambah, Pakatan Rakyat tidak menetapkan tempoh dan masa dialog tersebut dan sedia bertemu pada bila-bila masa, agar perkara itu dapat diselesaikan dengan segera.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut menyambut baik konsensus tersebut berharap kerajaan perlu menyegerakannya agar rakyat berada dalam keadaan aman.

Kata beliau, senario yang berlaku di Pulau Pinang telah menyebabkan rakyat hidup dalam ketakutan.

"Kita hendak selesai isu perkauman serta semakin hari semakin menjadi-jadi. Lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang sehingga sekarang belum ada penyelesaian.

"Kita ingin redakan perasaan takut rakyat atas apa yang berlaku sekarang ini, konsensus ini perlu disegerakan, penyelesaian perlu dicari," jelasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. HD

Tiada ulasan: