SPECIAL ADS

31 Januari 2014

Wawancara Rafizi Ramli: Sebalik pimpinan, cerminan dan seteru di Kajang

PKR perlu melakukan sebaik mungkin untuk menangkis serangan Umno yang ingin merampas Selangor, kata Pakar Strategi PKR, Rafizi Ramli. Gambar fail.
31 Jan : Rafizi Ramli adalah salah seorang arkitek dalam ‘langkah Kajang’ yang membolehkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan itu. Dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider, Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR melihat betapa PKR tidak boleh berdiam diri apabila Umno terus menggunakan isu ketegangan kaum bagi merampas Selangor. Dalam menangani permasalahan itu, Pakatan Rakyat (PR) memerlukan pemimpin politik seperti Anwar dan pemimpin dalam soal pengurusan seperti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ikuti wawancara penuh dengan Rafizi.
S: Anda ada menulis sesuatu berhubung usaha Anwar untuk menjadi Adun di Selangor dan keperluannya bagi menangkis serangan Umno. Namun sejak lima tahun lalu, PR juga berdepan degan masalah isu bekalan air sehinggalah kepada bantahan kepala lembu. Jadi, apa keperluan Anwar untuk menjadi Adun di Selangor?
J: Pada tahun pertama, rakyat melahirkan kegusaran apabila kami diserang BN meskipun pada ketika itu kami masih tercari-cari. Asalkan kita jujur.
Kami kini berada di penggal kedua. Dinamiknya berubah terutama Umno. Doktrin sokongan bukan Melayu perlu diasingkan sudah berubah. Buat pertama kalinya wujud pemikiran adakah Melayu dan Umno dapat meneruskan perjuangan mereka.
Ketika mereka diberi peluang, politik kaum dan agama yang dimainkan tidak ubah seperti mana yang kita lihat lima tahun lalu.
Apa yang diperlukan adalah pengukuhan politik kerana apa yang sedang dihadapi adalah serangan politik lebih kasar.
Abdul Khalid cukup dihormati dalam pemerintahannya yang penuh berhemah namun beliau tidak begitu cekap sebagai ahli politik terutama apabila berdepan dengan taktik kotor Umno.
Maka sokongan politik PKR dan PR diperlukan. Dengan kehadiran Anwar, memberi isyarat bahawa kami mentadbir Selangor secara serius dengan Anwar menjadi ketuanya.
Kedua, jika berlaku serangan politik ke atas Khalid, Anwar boleh menghadapinya namun ia merupakan satu proses selama tiga bulan. Jadi jika ditanya adakah Anwar akan menjadi menteri besar? Ia ada kemungkinan. Terpulang kepada kita untuk menilai keadaan. Tetapi jika keperluannya mendesak, pilihan tersebut boleh digunakan.
Keadaan Anwar pada masa ini sebagai penasihat ekonomi hanya mencakupi kepada bidang itu sahaja dan beliau tidak mencampuri urusan politik di Selangor. Dengan Anwar sebagai Adun, ia merupakan satu usaha memberikannya kuasa politik bagi berdepan Umno Selangor. Di Parlimen, sewaktu beliau mahu berbicara tentang Selangor, ada yang berkata "siapa anda? Kamu hanyalah penasihat ekonomi RM1. Jangan kacau di Selangor".
S: Namun lima tahun lalu pengukuhan juga telah dijalankan. Mengapa ia perlu dilakukan sekarang?
J: Saya tak fikir kita boleh meneruskan mode bertahan dan diserang sentiasa. Akan tiba masa pengundi akan berkata, saya tahu kamu semua baik tetapi tidak efektif.
S: Bolehkah anda memberikan contoh bagaimana ia terjadi?
J: Katakanlah isu air. Rakyat kelas pertengahan mungkin boleh bertolak-ansur berdasarkan prinsip tetapi bagaimana dengan mereka yang tinggal di flat? Jika berlaku catuan air selama enam bulan, saya tidak fikir mereka membei peluang kepada kerajaan Selangor. Mereka pasti meminta penyelesaian daripada kerajaan dan gerak kerjanya memerlukan usaha politik.
Sama seperti serangan ke atas gereja. Bayangkan setiap minggu terdapat demonstrasi di luar gereja dan kerajaan negeri pula dilihat defensif dan gagal menggunakan pendekatan politik. Akan tiba masanya rakyat akan mengatakan apa gunanya anda menjadi kerajaan negeri? Kami mengundi anda dengan majoriti dua pertiga supaya anda boleh melindungi kami dan menghindarkan perkara ini.
Tidak benar mengatakan sokongan akan diberikan hingga ke akhirnya. Sokongan sebenarnya akan berkurang kerana jangkaan rakyat semakin tinggi. Penggal pertama, rakyat memberi peluang. Penggal kedua, rakyat mahu melihat sumbangan.
Itu juga yang berlaku kepada BN. 20 tahun pertama rakyat mengakui perjuangan mereka menuntut kemerdekaan tetapi pada dekad ketiga dan keempat, mereka berkata “lakukan sesuatu untuk kami”. Saya tidak mengatakan kerajaan negeri tidak berkesan sekarang. Apa yang saya maksudkan adalah krisis politik semakin memuncak dan ia memerlukan gerakan politik juga untuk menanganinya.
S: Adakah ini bemakna Anwar akan menjadi menteri besar dan Khalid masih dalam pentadbiran?
J: Selagi Anwar masih Adun, susun aturnya tidak berhenti. Anwar boleh menjadi MB, Khalid boleh menjadi penasihat merangkap exco dan begitulah sebaliknya. Saya fikir pandangan yang harus ditangani adalah kami mahu mendapatkan wang dari kerajaan negeri. Ini tidak adil kepada parti dan ia hanyalah satu persepsi. Inilah ketakutan yang mahu Anwar tangani.
Rakyat perlu memberi kami masa membuktikan bahawa keputusan ini dibuat oleh parti. Jika tidak mengapa Khalid yang mengumumkan Anwar sebagai calon dan Azmin menyiapkan jentera parti untuk pilihan raya kecil. Kita mahu Khalid faham hakikat ini dengan meletakkan Anwar sebagai Adun dahulu.
Kedudukan Anwar sebagai penasihat ekonomi tidak memadai. Keberadaan Anwar juga adalah sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran supaya reformasi akan berlaku lebih cepat. Ia seperti bos besar dalam lembaga pengarah sementara anda juga adalah CEO. Kita akan lebih fokus dan terbuka kepada rundingan.
S: Bukankah Azmin sebagai pengerusi BBC memadai untuk memantau kerajaan negeri?
J: Azmin dan Khalid tidak boleh bertentang mata. Ia elok jika mereka melakukannya tetapi tidak.
S: Adakah Anwar menggantikan Azmin?
J: Tiada yang menggantikan sesiapa. Ia pengukuhan. Kami tidak menyingkirkan Khalid atau Azmin di Selangor. Kami mahu ketiga-tiga mereka. Cabarannya lebih besar daripada itu. Jika Anwar menggantikan Azmin, parti akan menyingkirkannya sebagai ketua di Selangor tetapi Azmin masih di sana.
Kami akan menguruskan Khalid dan Azmin, dengan Anwar yang akan menyusunnya kembali. Ini bukan melibatkan PKR sahaja. Tidak adil kepada Azmin. Kita tidak boleh menyingkirkannya sedangkan beliau telah dipilih sebagai timbalan presiden.
Khalid juga diundi oleh parti dan disukai rakyat. Bagaimana penyelesaiannya? Salah seorang tidak boleh disingkirkan. Cara terbaik adalah meletakkan Anwar mendamaikan dua belah pihak yang juga disifatkan sebagai serampang dua mata bersedia terhadap serangan Umno. 

Tiada ulasan: