SPECIAL ADS

16 Februari 2014

Tak mudah Sabah dan Sarawak berpisah dari Malaysia, kata pakar Perlembagaan

17 Feb : Sabah dan Sarawak hanya boleh berpisah daripada Malaysia selepas mendapatkan sokongan negeri lain dan Majlis Raja-Raja Melayu, kata seorang pakar Perlembagaan pada ketika sentimen rakyat Malaysia Timur meningkat untuk berpisah dari Malaysia, kerana merasakan negara berusia 50 tahun itu tidak memanfaatkan mereka.
Bekas Profesor Universiti Islam Antarabangsa, Dr Abdul Aziz Bari (gambar)berkata, kedua-dua negeri Borneo itu tidak boleh berpisah dari Persekutuan dengan  bersendirian.
"Itu tidak boleh berlaku. Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan membincangkan kemasukan wilayah baru, oleh itu pemisahan hanya boleh berlaku jika Parlimen membenarkannya, seperti Singapura pada 1965." katanya.
Beliau berkata Singapura sebenarnya dibuang dan bukannya meninggalkan Persekutuan.
"Memang betul, Ketua Menteri Singapura dahulu, Lee Kuan Yew lebih suka untuk tinggal di Malaysia tetapi perdana menteri Tunku Abdul Rahman tidak mahukan mereka," tambahnya.
Abdul Aziz berkata, Tunku dikecam kerana membuang Singapura dan masih dipersoalkan lagi bertahun selepas itu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
"Jadi kini, jika orang di Sabah dan Sarawak tidak gembira dan ingin meninggalkan Persekutuan, mereka perlu mendapatkan sokongan negeri lain dan daripada Majlis Raja-Raja Melayu.
Profesor James Chin dari Universiti Monash Malaysia berkata kepada hadirin di forum reformasi pilihan raya di Petaling Jaya semalam, sejak mula lagi rakyat Sabah dan Sarawak merasakan kerajaan persekutuan melayan mereka seperti entiti yang berasingan.
Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia, namun Singapura tersingkir pada 1965.
Abdul Aziz juga berkata Tunku mempunyai pilihan mengumumkan darurat di Singapura dan meletakkan negeri tersebut di bawah kawalan persekutuan, sebaliknya Tunku menendang keluar Singapura yang kini sebuah republik.
"Mungkin dikatakan penguatkuasaan darurat di Sarawak pada1966 - masalah antara Tunku dan ketua menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan - mungkin dikatakan sebagai kaedah yang lebih baik." katanya.
Abdul Aziz berkata isu meninggalkan persekutuan sudahpun bangkit sebelum pilihan raya umum 1999 apabila pemimpin PAS terlepas kata tentangnya.
"Tetapi tentunya ada beberapa pemimpin yang juga pernah menggunakannya."
Seorang lagi bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein menuduh Tun Datu Mustapha Datu Harun menyembunyikan niat dan sesuatu yang membawa kepada pembentukan parti Berjaya pada 1976," katanya.
Mustapha merupakan pengasas Malaysia, tetapi apabila beliau menjadi ketua menteri sekitar 1967 -1975, hubungannya dengan kerajaan persekutuan semakin rapuh.
Walaupun kerajaan pusat yang diwakili Barisan Nasional (BN) merupakan rakan kongsi Usno, mereka risaukan beberapa pendirian Mustapha, khususnya niatnya untuk mengancam atau memisahkan Sabah dari Malaysia.
Abdul Aziz berkata meninggalkan persekutuan tidak semestinya pilihan yang terbaik.
"(Ketua Menteri Sarawak kini Tan Sri) Abdul Taib Mahmud dulu berkata selagi Sarawak di dalam Persekutuan, Sarawak tidak perlu bimbang tentang banyak perkara, seperti perlindungan dan keselamatan dalam negeri," katanya.
Beliau juga berkata, bahkan di demokrasi yang lebih matang juga pemisahan tidak begitu meyakinkan.
"Di United Kingdom di mana tiada masalah seperti kita alami di Malaysia, pilihan untuk berpisah gagal mendapat populariti, biarpun Scotland atau Wales," tambahnya. TMI

Tiada ulasan: