SPECIAL ADS

19 Februari 2014

LFL: Najib langgar janji hapus Akta Hasutan

ERIC_PAULSEN
19 Feb : Lawyer for Liberty (LFL) menyatakan rasa tidak terkejut terhadap tindakan Mahkamah Tinggi mengenepikan rayuan bekas pemimpin Hindraf, Uthayakumar terhadap hukuman penjara 30 bulan yang dihadapinya.
Uthayakumar sebelum ini disabitkan bersalah kerana didakwa menulis surat kepada bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown pada 2007 mendakwa telah berlaku pembersihan etnik terhadap masyarakat India di Malaysia.
Jurucakap LFL, Eric Paulsen menegaskan, tindakan membuat komen politik sebegitu bukanlah satu kesalahan sehingga mewajarkan tindakan memenjarakan Utahyakumar, tetapi hak dan kebebasan bersuara seharusnya diangkat ke satu kedudukan yang tinggi.
“Sabitan bersalah yang dikenakan terhadap Uthayakumar membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melanggar janji yang dibuatnya pada Julai 2012 lalu untuk menghapuskan Akta Hasutan.
“Sebaliknya kerajaan yang dipimpin Najib Razak sering menyalahgunakan tuduhan hasutan kepada beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Tian Chua, Tamrin Ghafar, Haris Ibrahim dan ramai lagi,” kata Eric dalam kenyataan kepada Keadilandaily.
Sehubungan dengan itu LFL meminta pihak berkuasa polis dan Peguam Negara bertindak secara profesional, adil dan bebas serta tidak membuat pendakwaan terpilih yang mensasarkan pemimpin Pakatan Rakyat.
“Sedangkan dalam masa sama tidak mengambil tindakan terhadap individu yang rapat dengan kerajaan seperti Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin, Ridhuan Tee dan Mohd Noor Abdullah yang turut mengeluarkan kenyataan serius dan keras,” ujar Eric. KD

Tiada ulasan: