SPECIAL ADS

12 Februari 2014

Ketua menteri baru Sarawak sama acuan dengan Taib, kata penganalisis

Tan Sri Abdul Taib Mahmud (kanan) melantik Tan Sri Adenan Satem sebagai pengganti jawatan ketua menteri Sarawak.
13 Feb : Dilihat sebagai tamparan kepada Putrajaya, Ketua Menteri Sarawak baharu, Tan Sri Adenan Satem adalah seorang pemimpin yang mempunyai acuan sama dengan orang yang memilihnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kata penganalisis.
Penganalisis berkata, Adenan yang berpengalaman luas juga mampu berkeras dengan Putrajaya kerana Taib yang akan meletakkan jawatan ketua menteri pada 28 Febuari, bakal menjadi gabenor Sarawak pada hari sama dan terus memegang tampuk kuasa negeri.
“Sekarang Putrajaya perlu berurusan dengan orang yang mempunyai acuan sama dengan Taib. Seperti Taib, Adenan boleh membangunkan hubungan kerja dengan mereka tetapi tidak akan tunduk kepada mereka,” kata penganalisis, Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis kepada The Malaysian Insider di Kuching.
“Beliau mempunyai apa yang diperlukan untuk berdepan dengan Putrajaya,” kata ketua Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu.
Taib mengumumkan Adenan sebagai penggantinya semalam, memilih bekas adik iparnya itu berbanding timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, yang dilihat rapat dengan pemimpin persekutuan dan disukai Putrajaya.
Adenan, 70, merupakan menteri tugas-tugas khas negeri sementara Abang Johari, 64, adalah menteri perumahan negeri.
Profesor Dr James Chin dari Institut Pengajian Adia Tenggara (ISEAS) di Sengapura bersetuju bahawa Adenan adalah calon terbaik untuk jawatan itu.
Bagaimanapun, penganalisis itu berkata, Adenan mungkin hanya akan menjadi ketua menteri secara sementara kerana masalah jantungnya.
“Masalah jantungnya tidak menjadikannya calon yang sesuai sebenarnya.
“Tetapi kalau sementara, untuk memimpin BN bagi pilihan raya negeri, beliau adalah orang yang terbaik,” kata Chin yang berasal dari Sarawak.
Mohd Faisal berkata, Taib dilihat sebagai mencerca Putrajaya dengan pilihan sendirinya - orang yang setia kepadanya.
“Sudah menjadi rahsia umum Putrajaya mahu melihat Abang Johari sebagai ketua menteri Sarawak yang baru. Secara idealnya, beliau akan menjadi pilihan terbaik kerana hubungan rapatnya dengan pemimpin persekutuan. Beliau juga dilihat bersih dan bukan seseorang yang kontroversi seperti Taib.
“Tetapi, apabila Putrajaya mula memberi tekanan agar Taib meletakkan jawatan, ketua menteri yang tegas itu tidak akan tunduk.
“Beliau memberi terma kepada Putrajaya tentang bila akan meletakkan jawatan dan siapa yang akan menggantikannya,” katanya.
Kesimpulannya ialah, Taib yang menetapkan bila peletakan jawatan itu akan berlaku, tempatnya dan siapa yang beliau mahu untuk menggantikannya.
Salah seorang lagi yang dikatakan berpeluang adalah Naib Presiden Kanan PBB dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber negeri II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, 58, tetapi dipertikai kerana pengalaman politik belum cukup luas.
“Selepas itu, peluang Abang Johari gelap (selepas Putrajaya memberi tekanan kepada Taib). Lagipun, beliau bukannya pengikut setia Taib,” kata Mohd Faisal, merujuk kepada pilihan raya parti 2002 bagi timbalan presiden II selepas Datuk Abang Abu Bakar Mustapha dipecat.
Mohd Faisal berkata, ia merupakan sebahagian daripada pelan kepada pengganti Taib.
Tetapi pelan untuk menjadikan Adenan – seorang peguam yang belajar di universiti sama dengan Taib – di University of Adelaide - sebagai pengganti terganggu apabila Adenan dicabar Abang Johari yang menang jawatan timbalan presiden II PBB.
“Episod itu juga tidak memihak kepada Abang Johari,” katanya.
Walaupun Adenan kalah, Taib mewujudkan jawatan naib presiden kanan untuknya agar beliau boleh masuk ke mesyuarat majlis tertinggi PBB.
Adenan yang mula masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas terpilih pada 1978, dilantik sebagai menteri muda tujuh tahun kemudian selepas dijadikan menteri muda pembangunan tanah negeri.
Pada 31 Mac, 2004, Adenan dilantik menganggotai Kabinet Persekutuan sebagai menteri sumber asli dan alam sekitar.
Dalam rombakan semula Kabinet pada Febuari 2006, Adenan meminta tidak dilantik semula dan pulang ke Sarawak.
Mohd Faisal yang mengkaji PBB dan pernah menulis kajian tentang parti itu berkata, kepulangan Adenan sepatutnya untuk mengambil alih jawatan Taib.
“Entah bagaimana sesuatu berlaku dan terdapat perselisihan faham antara mereka. Adenan dibekukan,: katanya.
Pada 2007, Adenan “yang merajuk” meletakkan jawatan sebagai naib presiden kanan PBB tetapi Taib melantiknya sebagai ketua penerangan.
Walaupun jawatan itu lebih rendah, ia masih membenarkannya untuk masuk ke dalam mesyuarat majlis tertinggi.
Adenan menerima jawatan itu dan menamatkan spekulasi beliau mahu mengakhiri karier politiknya.
Selepas tiga tahun dibekukan, Taib mengejutkan ramai pihak apabila beliau sekali lagi mewujudkan jawatan baru untuk Adenan dalam kerajaan negeri.
Taib menjadikan Adenan penasihat khas di pejabat ketua menteri pada Mac 2010.
Jawatan itu kemudiannya dijenamakan semula sebagai menteri tugas-tugas khas dengan kuasa menteri dan boleh menghadiri mesyuarat Kabinet negeri.
“Begitulah cara Taib menjaganya,” kata Mohd Faisal.
Katanya, Adenan dengan mudah boleh lemas dalam kehangatan politik sekiranya beliau tidak cekap sebagai ahli politik. TMI

Tiada ulasan: