28 Feb : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan blogger pro-Umno, Papa Gomo membayar ganti rugi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah Ketua Pembangkang itu.
Keputusan itu mendapat reaksi pantas di laman media sosial seperti Twitter dan Facebook.
Antara lain, memetik komen pengguna Facebook, Fadhlina Sidek berkata hukuman yang dikenakan kepada Papa Gomo walaupun hampir mencecah RM 1 juta, ianya masih tidak dapat memadamkan dosa qazaf yang dilakukannya.
“Dalam kelas yang lepas, anak-anak murid terlopong mendengar impak dosa qazaf terhadap keesahan perkahwinan ketika kami memulakan kelas undang-undang keterangan Islam.
“Pernah kalian terfikir mengapa qazaf termasuk di bawah jenayah hudud,” katanya menerusi status di laman Facebook.
Selain itu, Twitter Anwar turut dihujani ucapan tahniah daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dan juga pengikut yang lain.
“Orang fitnah selalu rugi dunia akhirat, tahniah atas kemenangan saman terhadap raja fitnah, Papa Gomo,” kata seorang pengikut, nukmannafiz.
“Papa Gomo boleh berkira-kira untuk tukar nama kepada ‘Papa Kedana’,” sindir seorang lagi pengikut, OhMaiKedah.
Pagi tadi, Hakim Rosilah Yop dalam penghakimannya turut mengarahkan Papa Gomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri membayar RM 50,000 kepada Anwar sebagai kos.
Rosilah juga membenarkan permohonan injunksi tetap oleh Anwar untuk menghalang Wan Muhammad Azri mengulangi fitnahnya di blog berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan