23 Feb : Harga runcit beras di pasaran tempatan sepatutnya diturunkan bagi membantu meringankan beban rakyat memandangkan harga beras di pasaran antarabangsa mengalami penurunan ketara, kata Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung.
Menurut Leung, agensi berita Reuters 19 Februari lalu melaporkan berjuta tan beras Thailand bakal dieksport ke pasaran antarabangsa akibat daripada penghapusan skim subsidi padi Kerajaan Thailand pada akhir bulan ini.
“Di bawah skim subsidi padi Thailand, petani dibayar sebanyak 15,000 baht bagi setiap tan. Apabila skim subsidi ini dihapuskan, petani dijangka terpaksa menjual padi pada harga pasaran terbuka sekitar 8000 hingga 9000 baht sahaja iaitu 47% lebih rendah,” ujar Leung (gambar).
Petani Thailand juga, tambah Leung terpaksa menjual padi pada harga rendah kerana kekurangan tangki simpanan beras kerajaan yang tidak membolehkan beras disimpan lama sehingga harga pulih.
“Pengksport Thai meramalkan penurunan harga beras hancur 5% daripada USD375/tan (RM1,238/tan) kepada USD350/tan (RM1,155/tan), harga terendah dalam 7 tahun,” jelas beliau.
Menurut Leung, di masa yang sama India dan Vietnam juga bakal mengalami penurunan harga beras akibat daripada hasil tuaian yang tinggi.
Sehubungan itu beliau yakin Malaysia sebagai negara pengimport beras bakal menikmati harga beras import yang yang lebih murah seterusnya menguntungkan Bernas.
Beliau meramalkan keuntungan Bernas akan meningkat 40% kepada RM165 juta pada masa terdekat kerana penurunan harga beras antarabangsa akibat pengeluaran berlebihan di Thailand, Vietnam,
India dan Pakistan.
India dan Pakistan.
“Sekiranya harga beras di pasaran tempatan tetap kekal diparas lama, Bernas bakal mendapat keuntungan besar yang tentunya akan memanfaatkan pemiliknya, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari,” ujarnya. HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan