12 Feb : Stesen radio perniagaan, BFM hari ini dilarang daripada menyiarkan satu temubual dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang pilihan raya kecil Kajang – pada hari yang sama selepas Putrajaya mengatakan media di Malaysia tidak pernah sebebas kini.
Ini bukannya kali pertama BFM dilarang daripada menyiarkan program mereka.
Terdahulu, stesen itu beberapa kali dipanggil penyelia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mengawal semua program yang disiarkan.
Difahamkan temubual tersebut sepatutnya disiarkan hari ini waktu program Evening Edition yang merupakan program 'drive-time'.
Bagaimanapun rakaman temubual tersebut boleh dimuat turun daripada laman web stesen itu, dengan notis mengatakan rakaman tersebut dilarang untuk disiarkan.
BFM adalah stesen radio yang berpangkalan di Bandar Utama, Selangor, yang menyiarkan dengan keluasan boleh diterima di sebahagian kawasan di Negeri Sembilan dan Melaka.
Malaysia mengawal ketat media cetak dan penyiaran, tetapi Putrajaya tetap menegaskan mereka bertoleransi dengan media, mengatakan "media di Malaysia tidak pernah sebebas ini."
Namun begitu, Indeks Kebebasan Media Reporters Without Borders (RSF) 2014 menunjukkan kebebasan media dalam negara sudah merosot.
Kedudukan Malaysia di dalam Indeks Kebebasan Media 2014, jatuh paling rendah kepada 147 daripada 180 negara disenaraikan.
Malaysia diletakkan di nombor 145 dalam indeks tahun lepas.
Indeks tahun ini menunjukkan Malaysia lebih teruk daripada negara Asia Tenggara seperti Brunei (117), Thailand (130), Indonesia (130), Cambodia (132) dan Myanmar (145).
Putrajaya pula berkeras mengatakan ia lebih bebas, dan hari ini berkata, "Malaysia menikmati media atas talian yang pelbagai dan terbuka."
"Sesiapa yang mengunjungi laman web berita Malaysia atau blog politik akan dapat melihat sendiri betapa bebasnya media atas talian kini."
"Lebih-lebih lagi, di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, undang-undang media cetak dan perlesenan sudah lebih longgar," kata wakil Pejabat Perdana Menteri dan menambah, kewajiban membaharui lesen cetak setiap tahun sudah dimansuhkan, dan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menyekat, membenarkan atau membatalkan lesen dibuka untuk penghakiman.
Semalam, Menteri Dalam Negeri membatalkan permit pencetakan bagi FZ Daily – hanya beberapa jam selepas penerbit The Edge Communications Sdn Bhd mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding ke atas Kementerian Dalam Negeri kerana menangguhkan kelulusan awal permit tersebut.
Kementerian juga menggantung akhbar mingguan The Heat Disember lepas kerana didakwa tidak memberitahu tentang perubahan pemilik serta enggan membalas kepada dua surat tunjuk sebab.
Bagaimanapun, penggantungan tersebut ditarik balik pada 27 Januari, lebih daripada sebulan sejak diarahkan untuk penerbitan dihentikan.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan