SPECIAL ADS

12 Februari 2014

Indeks Kebebasan Media lebih buruk dari Myanmar memalukan

13 Feb: Dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa Malaysia mempunyai ‘demokrasi terbaik di dunia’ tergugat apabila kedudukan negara dalam Indeks Kebebasan Media terkini terburuk dalam tempoh 12 tahun.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata kedudukan itu yang lebih rendah daripada Myanmar adalah sungguh mengaibkan negara.

Katanya, pada 2013, Malaysia jatuh kedudukan di tangga ke-145 daripada 179 buah negara dalam Indeks Kebebasan Media 2013 – pencapaian terburuk sejak indeks tahunan Reporters Without Borders (RSF) diperkenalkan pada tahun 2002.

“Bolehkah kita mengharapkan penjelasan daripada Najib mengapa beliau memungkiri janji untuk menjadikan negara sebagai ‘demokrasi terbaik di dunia’,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan media.

Katanya, dalam Indeks Kebebasan Media terkini, Malaysia tersungkur lebih jauh ke bawah, iaitu di tangga ke-147 daripada 180 buah negara.

Ia dua anak tangga di belakang Myanmar yang kedudukannya meningkat ke tangga ke-145 setelah menduduki tangga ke-151 pada tahun lepas.

Negara ASEAN yang pencapaiannya mengatasi Malaysia adalah Brunei (tangga ke-117), Thailand (130), Indonesia (132), Kemboja (144) dan Myanmar (145). Filipina menduduki tangga ke-149, Singapura di tangga ke-150, Laos 171 dan Vietnam 174.

Beliau berkata kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media 2014 mungkin di bawah Filipina dan Singapura jika diambil kira tindakan terbaru Kerajaan Pusat menekan kebebasan media, iaitu pembatalan permit penerbitan FZ Daily.-selangorkini 

Tiada ulasan: