SPECIAL ADS

11 Februari 2014

KJ: Segerakan siasatan 'insiden terowong'


11 Feb : Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera mengeluarkan hasil siasatan berhubung insiden dalam terowong yang membabitkan pasukan T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Baharu pada 1 Februari lalu.

Beliau berkata tindakan seorang pemain dan penolong jurulatih T-Team bersumpah Al-Quran di hadapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu malam tadi dilihat sebagai sesuatu yang amat serius, lapor Bernama
    
Mereka mengangkat sumpah seperti disarankan Ahmad sebelum ini demi merungkai perkara sebenar yang berlaku.

"Ada sesuatu yang berlaku, tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku dan siapa yang terlibat, tetapi apabila ada pemain dan pegawai sanggup mengangkat sumpah, perkara ini bukan perkara remeh.

"Saya ada menghubungi Datuk Hamidin Mohd Amin (setiausaha agung FAM) memaklumkan kepada beliau perkara ini adalah serius dan tidak boleh diketepikan. Kalau memang ada kejadian yang tidak diingini berlaku di Stadium Larkin, FAM kena membuat pertuduhan.
    
"Jika ada kesalahan jadi perlu dihukum, hukuman itu haruslah tidak pilih kasih. Saya hanya menteri belia dan sukan, saya tidak boleh membuat sebarang hukuman. Sekiranya FAM tidak mengambil tindakan terhadap apa yang berlaku, kredibiliti FAM akan terjejas," beliau dipetik sebagai berkata.

Khairy juga meminta FAM memperketatkan lagi kawalan keselamatan di stadium bagi mengawal tindakan agresif penyokong bola sepak tempatan.     

"Ada sekumpulan penyokong yang muncul boleh dikatakan sebagai samseng, saya juga telah memaklumkan kepada Datuk Hamidin yang saya bimbang perkara ini. Kerjasama dengan pihak PDRM perlu diperketatkan.

"Bola sepak adalah sukan kelurga, ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka menonton perlawanan, jadi bahaya kepada mereka jika penyokong menjadi agresif," katanya.

Pada aksi Liga Super pada Jumaat lepas di Stadium Darul Makmur, Kuantan, penyokong JDT dan Pahang dilapor mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan ada penyokong JDT cedera dipercayai terkena balingan objek keras.
    
'Gantung JDT daripada Piala Malaysia'

Dalam perkembangan berkaitan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang menggesa JDT digantung daripada Liga Malaysia seandainya kekecohan melibatkan penyokong bola sepak berterusan.

Penyelaras SAMM Pahang, Amirul Syazwan dalam kenyatannya berkata, kekecohan sewaktu perlawanan JDT menentang Pahang pada 7 Februari lalu yang berlaku akibat campur tangan pihak VVIP "tidak wajar berlaku dan seharusnya boleh dielakkan".

"SAMM Pahang menggesa agar mana-mana pasukan yang mengundang campur tangan golongan VVIP ini digantung dari meneruskan penyertaan dalam liga Malaysia sekiranya sikap seperti ini gagal dibendung pada masa hadapan," katanya.

Kekecohan melibatkan penyokong Pahang dan JDT pada Jumaat lalu selepas perlawanan tamat di Stadium Darul Makmur menyebabkan polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa meleraikan keadaan.

Insiden itu yang kedua melibatkan JDT selepas insiden pertama di terowong menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, pada 1 Februari, 2014 lalu. MK

Tiada ulasan: