SPECIAL ADS

24 Februari 2014

Merancang untuk krisis air?

24 Feb : Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menekankan berulang kali keperluan untuk margin simpanan air terawat yang lebih tinggi dan perlindungan kawasan tadahan air. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita boleh melihat kesan perubahan corak cuaca kepada sumber air kita .

Adakah Terdapat Pengajaran Untuk Dipelajari?

Pengajaran pertama: kemarau atau tempoh yang lama tanpa hujan atau dengan hujan yang sangat sedikit adalah sebahagian daripada iklim kita. Ini bukan kali pertama kita menghadapi musim kering dan aras air yang rendah di empangan yang menyebabkan kekurangan bekalan air.

Pengajaran kedua: sejak tamadun awal, manusia telah belajar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan corak cuaca. Pembinaan empangan, takungan tasik buatan manusia dan sistem pengairan sistematik adalah contoh kaedah inovatif dan adaptasi yang digunakan oleh manusia untuk teruskan kehidupan.

Pengajaran ketiga: peningkatan drastik dalam kepadatan penduduk kawasan bandar dan sub-urban menjadikannya lebih sukar untuk memenuhi permintaan bagi air terawat yang semakin meningkat. Ini adalah satu fenomena utama di seluruh dunia. Sumber air biasanya jauh dari zon permintaan dengan kepadatan penduduk yang tinggi. Perancangan teliti dan jaringan keselamatan mesti dilaksanakan  untuk memenuhi peningkatan permintaan air di zon ini .

Pengajaran keempat: setengah abad yang lalu (50 tahun), terdapat hutan yang lebih tebal. Oleh itu, kesan kemarau atau musim kering ini tidaklah begitu teruk. Gelombang haba ini di kawal oleh hutan itu sendiri. Perkembangan pesat besar-besaran dan penebangan hutan yang luas telah memberikan "kuasa" kepada kemarau atau musim kering untuk "menyerang" kita bertalu-talu. Di dalam hutan semula jadi yang tidak terganggu, hutan itu sendiri mengawal iklim tempatan sehingga 90%. Apabila hutan ini di tebang untuk memberi laluan kepada pembangunan, pembalakan dan aktiviti-aktiviti lain, fungsi ini dikurangkan secara drastik disebabkan oleh pengurangan kawasan hutan.

Pengajaran kelima: ini bukanlah pengakhiran. Kemajuan dalam teknologi dan pengurusan permintaan air yang lebih baik akan membolehkan kita memenuhi permintaan air yang semakin meningkat. Walau bagaimanapun, ini bergantung kepada bagaimana kita melindungi kawasan-kawasan tadahan air mulai sekarang.

PENYELESAIAN 1: Melindungi Kawasan Tadahan Air

Jumlah penggunaan air dibahagikan kepada sektor domestik, industri (termasuk komersil) dan pertanian yang menggunakan 17%, 21% dan 62 % masing-masing. Walau bagaimanapun, hampir 2/3 daripada air terawat digunakan oleh sektor domestik. Ini adalah kerana sektor industri dan aktiviti pertanian banyak mengambil air terus dari alam sekitar untuk kegunaan mereka.

Semua kerajaan negeri mesti mewartakan kawasan tadahan air (termasuk hutan, sungai, tasik, dan lain-lain) sebagai rizab kekal menjelang akhir tahun 2015. Kawasan-kawasan ini juga perlu mengambil kira keperluan masa depan untuk air mentah. Tiada aktiviti manusia yang boleh dibenarkan di kawasan yang diwartakan ini termasuk aktiviti rekreasi. Apabila populasi bertambah, permintaan bagi air akan bertambah juga. Ini juga bermakna keperluan untuk mewartakan lebih banyak kawasan tadahan air akan meningkat seiring dengan pertumbuhan populasi bagi memastikan jaminan air mentah.

Bagi kawasan yang sudah dibangunkan, piawaian (standard) pelepasan air sisa perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar. Selain itu, kemudahan pra-rawatan (pre-treatment) boleh dibangunkan untuk meningkatkan lagi kualiti air mentah. Ini adalah langkah-langkah yang sama diambil di kebanyakan tempat di dunia untuk memastikan kualiti air mentah dijamin. Sebagai contoh, pencemaran ammonium baru-baru ini yang menyebabkan dua loji rawatan air di Selangor ditutup dan mengakibatkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan Hulu Langat dan Kuala Langat. Dengan menguatkuasakan piawaian pelepasan air sisa yang lebih ketat, masalah sebegini boleh dielakkan semasa musim kering. Ini adalah kerana musim kering menyebabkan kepekatan bahan pencemar meningkat disebabkan kehadiran air yang kurang dalam sungai.

PENYELESAIAN 2: Tarif Air Mentah Berdasarkan Kualiti Air Mentah

Tarif air mentah berdasarkan kualiti air mentah juga perlu dilaksanakan untuk memastikan kerajaan negeri menerima pendapatan yang saksama apabila melindungi kawasan tadahan air untuk menjamin sumber air mentah termasuk air mentah yang merentasi sempadan. AWER melihat ini sebagai satu pelaksanaan yang penting untuk memastikan kerajaan negeri menerima pendapatan berterusan tanpa perlu untuk menjalankan aktiviti pembalakan atau projek-projek pembangunan lain di kawasan tadahan air. Di samping itu, melindungi kawasan tadahan air akan menjamin kualiti air mentah yang lebih baik dan mengurangkan kos merawat air yang akan diterjemahkan kepada tarif air yang saksama dan berpatutan.

PENYELESAIAN 3: Pembinaan Empangan

Empangan adalah penyelesaian teknikal dari tamadun awal manusia untuk menyimpan air bagi memenuhi permintaan air semasa musim kering. Terdapat empangan berfungsi tunggal dan empangan pelbagai fungsi. Pada masa ini, terdapat empangan tebatan banjir yang juga digunakan sebagai sumber air mentah untuk perawatan air di Malaysia. Pembinaan empangan pelbagai fungsi adalah kos efektif. Walau bagaimanapun, perbezaan dalam fungsi boleh menyebabkan masalah semasa musim kering. Sebagai contoh, beberapa kawasan di selatan Semenanjung Malaysia menghadapi masalah kekurangan air terawat semasa musim kering beberapa tahun lalu kerana syarikat air menggunakan air daripada empangan tebatan banjir sebagai sumber air mentah untuk perawatan air.

Satu kajian yang menyeluruh perlu dilakukan:

i. untuk melihat kepada kesesuaian fungsi empangan sebagai bekalan air mentah;
ii. untuk mengkaji penambahan kapasiti empangan air mentah yang sedia ada;
iii. untuk menjalankan proses pengudaraan bagi meningkatkan kualiti air mentah di empangan yang boleh mengurangkan kos perawatan air;
iv. untuk menjalankan pengeluarkan mendapan (desiltation) dan penyelenggaraan empangan untuk memastikan kapasiti reka bentuk tidak terjejas;
v. untuk mengelakkan krisis air semasa musim kering kerana fungsi-fungsi lain empangan mengatasi fungsi sebagai bekalan air mentah. Pengabungan fungsi-fungsi empangan yang betul bersama-sama adalah penting; dan
vi. untuk meningkatkan jaminan air mentah di Malaysia, pembinaan empangan baru dengan kapasiti rizab tambahan (50 % kepada 100%) perlu dilaksanakan.

PENYELESAIAN 4: Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Mesti Dilengkapkan Dengan Segera

Penstrukturan semula industri perkhidmatan air adalah satu keperluan untuk memastikan infrastruktur perkhidmatan air, teknologi dan perkhidmatan yang lebih baik. Pada masa ini, Selangor, Kedah, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Labuan masih belum melengkapkan proses penstrukturan semula. Di samping itu, Sabah dan Sarawak hendaklah dimasukkan ke dalam proses ini supaya ia memberikan manfaat terus kepada rakyat daripada proses tersebut.

Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dikuatkuasakan awal 1 Januari 2008 dan penstrukturan semula (tidak termasuk Sabah dan Sarawak) sepatutnya telah siap pada 31 Disember 2010. Kini , proses ini memasuki kelewatan tahun ke-4 dan ini akan memberikan kesan yang teruk kepada pembangunan infrastruktur perkhidmatan air dan juga pengurusan situasi seperti krisis air semasa yang disebabkan oleh musim kering yang berpanjangan.

Di samping itu, semua syarikat perkhidmatan air perlu mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum menjalankan catuan air. Pelan Tindakan Kecemasan, Pelan Catuan Air dan Pelan Komunikasi hendaklah komprehensif bagi memastikan pengguna air terawat dapat mengikuti langkah-langkah dan rancangan yang ditetapkan oleh syarikat perkhidmatan air. AWER juga ingin menggesa SPAN untuk menjalankan ujian percubaan semasa musim biasa pada masa akan datang bagi memastikan pengguna membiasakan diri dengan rancangan semasa keadaan krisis air. Ini akan membantu semua pihak yang berkepentingan untuk menghadapi situasi kecemasan dengan lancar.

PENYELESAIAN 5: Meningkatkan Infrastruktur Bekalan Air ke Kawasan-Kawasan Sub-Urban dan Luar Bandar

Kerajaan juga perlu mengkaji semula infrastruktur bekalan air di kawasan-kawasan sub-urban dan luar bandar yang tidak mempunyai takungan perkhidmatan (service reservior) yang sesuai. Takungan perkhidmatan menyimpan air untuk kegunaan minimum 1 hari bagi komuniti tertentu. Tanpa takungan perkhidmatan, komuniti ini menerima kesan langsung kerana kekurangan kapasiti simpanan untuk memenuhi permintaan mereka semasa gangguan bekalan air. Semasa catuan air, ini adalah kawasan akan paling teruk terjejas dan disebabkan ini lori tangki air dikerahkan ke lokasi ini dengan serta-merta apabila terdapat gangguan bekalan air. Untuk bergerak ke hadapan, infrastruktur perkhidmatan air kawasan sub-urban dan luar bandar perlu dipertingkatkan melalui model WSIA.

PENYELESAIAN 6: Pengurusan Permintaan - Kecekapan Air

Pengurusan permintaan air adalah penting bagi memastikan pembangunan lestari. Ini terdiri daripada kedua-dua permintaan air mentah dan permintaan air terawat. Satu pengurusan permintaan air yang menyeluruh perlu dibangunkan untuk menggariskan langkah-langkah dan prosedur untuk membantu sektor domestik, industri dan pertanian untuk mengoptimumkan penggunaan air untuk mencapai kecekapan air. Sebagai permulaan, AWER telah melancarkan peranti atas talian untuk membantu pengguna domestik menjadi lebih cekap air. Alat ini yang dikenali sebagai "Tangkap si Hydro" boleh diakses melalui www.water.org.my.

Pengurusan permintaan air juga merangkumi pelabelan peralatan. Sebagai permulaan, pelabelan kecekapan air perlu diperkenalkan sebagai pelabelan sukarela untuk mesin basuh, mesin pencuci pinggan-mangkuk, penyiram mandi (shower head), kepala paip (tap) dan penyiram tandas (toilet flush). Pelabelan sukarela ini hendaklah ditukarkan kepada pelabelan mandatori dalam masa 2 tahun dengan pelaksanaan Piawaian Minima Kecekapan Air (Minimum Water Efficiency Standard - MWES). Melalui MWES, kita boleh menghentikan jualan produk yang tidak cekap air dan secara tidak langsung membantu pengguna untuk mengurangkan penggunaan air di rumah.

Begitu juga, sektor industri dan pertanian yang sangat bergantung kepada penggunaan air juga perlu dibantu untuk menjadi lebih cekap air melalui penanda aras water footprint (kadar penggunaan air). Water footprint membantu kita menetapkan penggunaan air di pelbagai sektor. Ini adalah pengurusan permintaan yang lebih efektif dan merentasi semua sektor. Sebagai contoh, kita menggunakan 140 liter air untuk menghasilkan secawan kopi, 184 liter air untuk 1kg tomato, 1000 liter air untuk 1 liter susu lembu dan 20,000 liter air untuk menghasilkan satu komputer riba (laptop). Melalui pengurangan nilai-nilai water footprint ini, sektor industri dan pertanian boleh menjadi lebih cekap air dan mengurangkan kebergantungan kepada air yang tinggi.

PENYELESAIAN 7: Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW)

AWER ingin mengucapkan terima kasih kepada Kabinet kerana meluluskan pembentukan Pasukan Petugas Khas Pengurangan NRW Kebangsaan seperti yang dicadangkan oleh AWER bagi melaksanakan Pelan Tindakan Pengurangan NRW yang terperinci untuk Malaysia. Setiap tahun, kehilangan pendapatan disebabkan oleh NRW dianggarkan adalah melebihi RM 1.6 bilion. Walaupun terdapat sedikit kelewatan dalam Pelan Tindakan Pengurangan NRW yang kini hampir selesai, kami berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mempercepatkan kerja mereka dalam perkara ini. Sasaran NRW negara juga harus ditetapkan pada 20% bagi tahun 2020 kerana kini ia menjadi lebih kos efektif untuk menjalankan pengurangan NRW berbanding dengan kos pengurusan krisis air.

PENYELESAIAN 8: Pembangunan GRID AIR NEGARA

AWER telah pun memulakan kajian untuk menentukan model yang sesuai untuk mewujudkan Grid Air Negara (National Water Grid-NWG). Pra-syarat utama bagi pembangunan NWG adalah peningkatan prestasi syarikat perkhidmatan air. Ini akan mengambil masa antara 5 hingga 10 tahun. Semasa fasa ini, penyambungan di antara sistem bekalan air di dalam negeri boleh dibangunkan. Setelah ini selesai, sambungan di antara negeri boleh dilaksanakan. NWG ini akan ditadbir oleh Kod Grid (Grid Code) untuk memastikan fungsinya adalah optimum. NWG akan menjadi penyelesaian muktamad untuk menangani cabaran krisis air. Projek pemindahan air mentah sahaja tidak mencukupi kerana kekangan rangkaian ke seluruh negara dan komponen jaminan air mentah. Sebelum kita sampai ke bab NWG ini, Malaysia perlu melengkapkan Penyelesaian 1-7 yang dicadangkan oleh AWER dahulu.

KESIMPULAN

AWER memuji ikrar Perdana Menteri untuk mengambil tindakan menangani isu krisis air yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. AWER berharap kerajaan boleh melaksanakan penyelesaian yang disyorkan kami ini untuk memastikan jaminan air di Malaysia di capai. Punca krisis air adalah disebabkan oleh kekurangan perancangan dan tenaga kerja yang berkemampuan untuk pelaksanaan yang menyeluruh. Apabila halangan utama ini dihapuskan, Malaysia akan menjadi negara yang terkemuka di peringkat global yang mampu untuk menguruskan air secara holistik.

Piarapakaran S, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Tiada ulasan: