SPECIAL ADS

19 Februari 2014

Anak lapor polis, dakwa wujud pecah amanah dalam KPF

19 Feb :  Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini membuat satu laporan polis berhubung dakwaan wujud perbuatan pecah amanah jenayah di dalam pengurusan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF).

Laporan polis itu dibuat terhadap Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Faizoull Ahmad dan sembilan Ahli Lembaga Pengarah yang lain.

Jelas Presiden Anak, Mazlan Aliman, Mesyuarat Agong Khas KPF pada 27 Oktober tahun lalu telah meluluskan penjualan kepentingan KPF di dalam Felda Holding Berhad (FHB) sebanyak 51 peratus atau RM2.2 bilion pada harga RM19.61 sen sesaham.

Manakala, Felda Badan Berkanun pula telah menjual 49 peratus kepentingannya di dalam FHB sebanyak RM5.7 bilion atau RM52 sesaham.

Katanya, amat menghairankan kenapa Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah KPF tidak mengambil pendirian tegas agar KPF juga dibayar pada harga yang sama seperti Felda Badan Berkanun iaitu RM52 sesaham.

"In yang kita hairan dan kenapa Lembaga Pengarah KPF dan pengerusinya tidak bertegas agar KPF turut dibayar pada harga yang sama iaitu RM52 sesaham.

"Sedangkan harta yang dilepaskan oleh FHB kepada Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (FGVH) adalah sama sepertimana yang dilepaskan oleh KPF sebelum ini, yang berprestasi tinggi menghasilkan dividen sehingga 10 hingga 16 peratus setahun kepada KPF dan ahli-ahlinya," katanya kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurutnya lagi, tiga buah firma penyelidikan pasaran saham yang berwibawa iaitu TA Securities, Kenanga Research dan CIMB telah membuat anggaran nilai pasaran bagi 51 peratus kepentingan KPF di dalam FHB dan nilai masing-masing ialah RM4.081 bilion, RM3.207 bilion dan RM2.860 bilion.

"Ini bermakna harga yang diputuskan oleh perwakilan di dalam mesyuarat itu di antara RM0.66 hingga RM1.881 bilion lebih rendah berbanding penilaian-penilaian berkenaan.

"Amat menghairankan bila Pengerusi KPF dan ahli-ahli lembaga pengarahnya tidak langsung menggunakan penilaian berkenaan dalam merundingkan harga yang wajar ditawarkan kepada fGV," jelas beliau.

Sementara itu, Penasihat Ekonomi Anak, Dr Rosli Yaakob memberitahu KPF telah mengupah firma perakuanan antarabangsa yang terkenal, Ernst & Young (EY) untuk membuat penilaian ke atas 51 peratus saham itu, KPF dicadangkan menjual kepentingan kepada FGV pada harga RM2.328 bilion hingga RM2.568 bilion.

Jelasnya, adalah sesuatu yang menghairankan apabila Pengerusi KPF dan Ahli Lembaga Pengarah telah mengenepikan nasihat tersebut, sebaliknya mencadangkan kepada perwakilan meluluskan harga RM2.2 bilion bagi penjualan 51 peratus kepentingan.

"Persoalannya kenapa mereka semua mengambil keputusan sedemikian sedangkan beberapa agensi yang bertauliah telah membuat penilaian harga.

"Kenapa mereka di dalam KPF gagal mengambil sikap dan pendirian serta berusaha bersungguh-sungguh ke arah mendapatkan harga terbaik bagi menjual 51 peratus kepentingan KPF di dalam FHB, sedangkan itu amanah yang diberikan kepada mereka oleh ahli-ahli koperasi," tegas beliau.

Tambah beliau, memandangkan faktor-faktor tersebut, Anak mempunyai alasan untuk meragui dan mengesyaki dan beranggapan bahawa Pengerusi Lembaga KPF dan Ahli Lembaga Pengarah telah melakukan pecah amanah jenayah di dalam penjualan 51 peratus di dalam FHB kepada FGVH.

Dalam pada itu, Anak menggesa agar pihak polis melakukan siasatan segera secara menyeluruh yang berkemungkinan perbuatan pecah amanah telah berlaku sehingga melibatkan kerugian mencecah angka bilion Ringgit Malaysia. HD

Tiada ulasan: