SPECIAL ADS

27 Februari 2014

Pusat panggil Selangor tandatangan MoU saat akhir

halimah ali
27 Feb : Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor mengakui kerajaan Pusat memanggil kerajaan Selangor hadir ke Putrajaya bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam notis yang singkat.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata, kerajaan Pusat membuat keputusan saat akhir memaklumkan bersetuju dengan perjanjian itu dan mahu memeterainya.
“Kita (Selangor) memang dah bersedia sejak enam tahun lalu. Malah kita juga dah sediakan pelan peruntukan RM9.6 bilion bagi projek Langat 2.
“Pusat yang selama ni tak berapa nak mahu,” katanya kepada FMT selepas upacara solat hajat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini.
Selangor dan Pusat semalam menandatangani MoU bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi, iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash), dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (Abbas).
MoU ditandatangani antara Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta beberapa menteri Kabinet dan Exco Selangor.
Pengambilalihan ini dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dan empat syarikat terbabit akan diletakkan di bawah satu syarikat konsortium air dibawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), iaitu syarikat milik penuh kerajaan Selangor.
Bagaimanapun, Abdul Khalid memberi jaminan ia hanya melibatkan pengambilalihan pegangan ekuiti serta tangggungjawab sahaja dan tidak melibatkan pemberhentian kakitangan bukan pengurusan.
Melalui MoU, KDEB akan membayar RM9.65 bilion kepada pemegang saham empat syarikat konsesi terbabit manakala Kerajaan Persekutuan pula perlu menyuntik RM2 billion untuk membantu kerajaan negeri dalam urusan pengambialihan saham.
Sebagai balasan, kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran merancang untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2).
Sementera menunggu Langat 2 disiapkan, Kerajaan Selangor perlu melaksanakan tiga tanggungjawab utama untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi.
Antaranya, menjalankan program mitigasi bernilai RM900juta yang diperuntukkan Pusat, memulakan projek Horas (Hybrid Off River Augmentation System) di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 Juta Liter Sehari (MLD) atau 3 bilion liter pada tahun 2050.
Selangor juga perlu menurunkan peratusan air tidak berhasil (NRW) dari 33% kepada tahap yang lebih rendah dalam tempoh enam bulan.
Namun, Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam responnya semalam berasa terkejut dan mengakui tidak dimaklumkan mengenai pertemuan dan MoU itu.
“Saya mengetahui perjanjian yang dibuat sebelum ini.tetapi tidak yang terakhir ini,” katanya.
Sementara itu, Halimah berkata pihaknya selepas akan mengadakan beberapa siri solat hajat memohon agar diturunkan hujan berdasarkan respon yang diterima.
“Mungkin ada solat di empangan,” katanya.

Tiada ulasan: