SPECIAL ADS

14 Februari 2014

Hukum Adun: SPR perlu rujuk kes Kelantan, Perak

14 Feb : Pada awal 1990-an Dewan Undangan Negeri Kelantan pernah meluluskan pindaan bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula apabila wakil rakyat melompat parti.

Ketika itu Adun Semangat 46 di Sungai Pinang dan Limbongan menyertai Umno. Berikutan pindaan tersebut pilihan raya kecil diadakan.

Pilihan raya tersebut memberi kemenangan kepada calon Angkatan Perpaduan Ummah, iaitu Semangat 46. Namun Umno membawa kes tersebut ke mahkamah. Dan mahkamah mengisytiharkan pilihan raya tersebut tidak sah dan mengembalikan kerusi tersebut kepada penyandang.

Naib Presiden PAS, Datuk Ibrahim Tuan Man berkata, peletakan jawatan sebagai wakil rakyat lebih bermaruah berbanding melompat parti kerana  ia menghina mandat diberi rakyat.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melihat contoh yang berlaku di Kelantan pada awal 1990-an sebelum meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap wakil rakyat yang meletakkan jawatan tanpa sebab munasabah.

“SPR tidak perlu terpengaruh dengan desakan mana-mana pihak berhubung cadangan tersebut. SPR seharusnya melihat tuntutan keperluan dan bukannya desakan serta kepentingan pihak tertentu,” katanya ketika ditemui selepas majlis Maulidur Rasul Dun Bunut Payong di JKR 10 petang semalam.

Hadir sama pada program tersebut Adun Bunut Payong, Dr Ramli Mamat dan Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim serta jawatankuasa Muslimat Dun terbabit.

Baru-baru ini SPR dilaporkan mahu mengkaji keperluan dan cadangan meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pindaan itu bagi mengelakkan 'penyakit' meletak jawatan tanpa sebab 'merebak' kepada wakil rakyat lain.

Cadangan itu ada kaitan tindakan Lee Chin Chen mengosongkan kerusi Dun Kajang pada 27 Jan lalu, bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan pada Mac ini.

Tuan Ibrahim juga berkata, contoh yang pernah berlaku di Perak pada 2008 di mana kerajaan Pakatan Rakyat diambil alih melalui kudeta hanya berpunca tiga Adun PKR dan DAP berpaling tadah.

Kata beliau sepatutnya tiga Adun terbabit meletak jawatan seperti dilakukan bekas Adun Kajang bagi mengembalikan semula mandat rakyat dan bukan menukar kerajaan melalui pintu belakang.  

“Ini isu yang jauh lebih besar jika dibandingkan seorang Adun mengosongkan kerusinya kerana merasakan tidak mampu lagi untuk berkhidmat kepada rakyat.

“SPR perlu menilai sejarah yang berlaku sebelum ini dan bukannya bertindak kerana ada desakan daripada mana-mana pihak yang berkepentingan,” ujarnya.

Katanya juga, adalah lebih bermaruah seseorang Adun itu mengosongkan kerusinya sekiranya tidak mampu lagi berkhidmat kepada rakyat, lagi pun ia dibenarkan oleh perlembagaan.

Selain itu menurutnya juga SPR tidak boleh bersikap double standard terhadap kes Dun Beliangan di Sarawak apabila Adunnya, Tan Seri Taib Mahmood mahu mengosongkan kerusi tersebut.

"Kalau di Kajang kita tekan atau kritik, bagaimana kes yang sama berlaku di Sarawak kita biarkan," ujarnya. HD

Tiada ulasan: