SPECIAL ADS

29 Mei 2014

Deepak Jaikishan kembali, kali ini dengan pinjaman RM33 juta

Peniaga permaidani, Deepak Jaikishan dikaitkan dengan skandal pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Gambar fail.
Pengurus hartanah dan peniaga permaidani Deepak Jaikishan mula berlegar di media selepas dikaitkan dengan skandal pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Penyiasat persendirian mendiang P Balasubramaniam atau PI Bala berkata dalam 2009, Deepak dan Mohammad Nazim Razak, adik kepada Datuk Seri Najib Razak, memaksa beliau menarik balik kenyataan pertamanya yang bersumpah mengaitkan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya.
Dalam akuan berkanun (SD) pertamanya, Balasubramaniam mendakwa pemimpin utama kerajaan persekutuan terlibat dengan pembunuhan Altantuya.
Tetapi beliau menarik balik SD itu pada hari berikutnya dan menandatangani SD yang baru di mana nama-nama personaliti berkenaan dikeluarkan, namun dia mendapati dirinya semakin tertekan dan mengambil keputusan meninggalkan negara ini.
Deepak, 42, kembali mendapat perhatian tahun lalu apabila dia mengaku membantu mendapatkan PI Bala menarik balik SD pertamanya, di samping mencari dua peguam untuk menggubal satu kenyataan baru.
Dalam temubual dengan PAS organ Harakahdaily, Deepak mendakwa seorang peguam terkenal terlibat namun tidak menamakan peguam itu.
Namun, peguamnya, Americk Singh kemudian mengesahkan peguam itu adalah Tan Sri Cecil Abraham.
Ini mencetuskan beberapa siri peristiwa yang membawa kepada siasatan oleh Majlis Peguam, pada masa sama terdapat salah laku profesional di pihak Abraham dalam merangka SD kedua.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menolak dakwaan Deepak sebagai tidak benar dan menyifatkan ahli perniagaan kontroversi itu sebagai "bukan orang yang boleh dipercayai", menyebabkan Deepak membuat kenyataan mahu memfailkan saman fitnah terhadap perdana menteri.
Deepak juga melobi agar tuduhan dibuat terhadap Najib dan keluarganya serta pemimpin lain.
Dua tahun lalu, beliau mengumumkan untuk memfailkan tuntutan mahkamah RM3 bilion terhadap Datin Seri Rosmah Mansor dan Putrajaya dalam usaha menuntut ganti rugi ekoran kegagalan beberapa projeknya.
Beberapa bulan sebelum ini, dia menyaman syarikat milik pemimpin wanita Umno, Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah, Awan Megah (M ) Sdn Bhd, yang didakwanya menipunya selepas membelanjakan jutaan ringgit dalam perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor.
Syarikat Deepak, Astacanggih Sdn Bhd bersetuju membeli tiga bidang tanah pada 2007 dengan harga RM13 juta dan jaminan bank RM72 juta untuk bon tanah daripada Raja Ropiaah, yang dianugerahkan perjanjian penswastaan RM100 juta untuk membangunkan pusat penyelidikan pertahanan dipanggil Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas).
Tanah itu sepatutnya diletakkan dalam sebuah syarikat tujuan khas yang dipanggil Cebur Megah kerana peraturan kerajaan tidak membenarkan tanah dalam projek penswastaan dijual oleh mana-mana pihak yang menang. Tanah itu masih di tangan kerajaan dan projek pertahanan itu masih belum menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, dia menarik balik tuntutan mahkamah terhadap Putrajaya pada hari yang sama Boustead Holdings Bhd melaporkan ia membeli pegangan 80% dalam Astacanggih dengan harga RM30 juta.
Deepak berkata, beliau terpaksa menjual syarikatnya untuk menampung kerugian yang ditanggung dalam perjanjian itu.
"Pemegang saham saya dan saya menjual saham kami dalam Astacanggih dengan harga RM30 juta yang merupakan harga kos sebenar kami . RM13 juta (untuk ) Raja Ropiah, sumbangan politik RM8 juta, kos kewangan RM7 juta, kos undang-undang dan pelbagai RM2 juta, kerana kata dua diberikan kepada kita," kata Deepak dalam satu kiriman SMS.
Ahli perniagaan itu juga mengarang sebuah buku 26 halaman yang berjudul "Black Rose 1.0" dengan mendakwa untuk memberitahu cerita sebenar di sebalik akuan berkanun kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
Beliau juga menerbitkan sebuah buku 47 muka surat bertajuk "Black Rose 2.0: Black Magic Women" yang membincangkan tentang upacara agama bukan Islam yang diamalkan oleh pemimpin negara.
Deepak, kemudiannya senyap selepas itu, kini kembali mendapat perhatian selepas bekas pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendakwa Deepak menggunakan jaringan politik untuk menyelesaikan pinjaman dengan bank sebanyak RM32 juta tanpa sebarang faedah kerana campur tangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.
Lembaga pengarah pada mulanya menolak kompromi yang ditawarkan oleh Deepak untuk menyelesaikan hutang beliau itu. Deepak didakwa menawarkan 120 cek tarikh tertangguh untuk ditunaikan oleh bank dalam tempoh 10 tahun.
Menurut Sabbaruddin, selepas keputusan itu dibuat, Hasan tidak puas hati dan enggan menandatangani surat untuk  melanjutkan tempoh beliau menjadi Pengerusi Bank Rakyat.
"Khidmat saya berakhir pada 8 April dan Bank Negara bersetuju untuk melanjutkan kontrak saya, tetapi Hasan enggan menandatanganinya," Sabbaruddin memberitahu The Malaysian Insider.
Beliau juga mendedahkan Hasan mengadakan mesyuarat dengan Deepak tanpa pengetahuan Bank Rakyat pada Januari.
"Hanya selepas itu kita mendapati kedua-dua bertemu, kerana cek bagi Januari, Februari dan Mac disediakan, menunggu untuk ditunaikan."
Berikutan dakwaan Sabbaruddin, Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata elemen faedah tidak timbul dalam mekanisme pembiayaan Islam.
"Setiap pembiayaan merupakan satu perjanjian jual beli yang merangkumi unsur kos keuntungan dan pentadbiran seperti caj bayaran lewat," kata bank itu.
Bank itu bagaimanapun tidak menafikan dakwaan Sabbaruddin.
Sehingga kini Deepak dan Hasan masih belum membuat sebarang penjelasan atas semua dakwaan itu. TMI

Tiada ulasan: