SPECIAL ADS

28 Mei 2014

Belum menang, calon BN sudah mahu lari tanggungjawab

Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong dilaporkan berkata, beliau tidak bertanggungjawab terhadap janji-janji yang dibuat oleh menteri sepanjang kempen pilihan raya ini berikutan ia dibuat tanpa kehadirannya.
Latanya lagi, itu adalah janji menteri berkenaan dan bukan janjinya.
Mah yang juga presiden Gerakan berkata, beliau hanya membuat janji yang dirasakan mampu ditunaikannya sebagaimana yang terdapat dalam manifesto yang dilancarkannya. Antara janji yang terkandung dalam manifestonya ialah mewujudkan sebuah universiti, menyenaraikan Menara Condong Teluk Intan sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco, membina stadium, lebih banyak padang futsal dan menyelesaikan masalah setempat seperti perparitan dan lampu jalan.
Sebelum ini ramai menteri yang datang berkempen di Teluk Intan menabur janji manis bagi memastikan BN memenangi pilihan raya pada 31 Mei ini. Antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menjanjikan akses internet lebih laju akan dilakukan manakala Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula menjanjikan lebih banyak pembangunan akan didatangkan ke bandar ini jika BN menang nanti.
Yang lebih gah janji BN ialah apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan projek lebuh raya antara Taiping dengan Banting yang turut melalui jajaran ke Teluk Intan sebagai usaha merancakkan lagi pembangunan ekonominya. Lebuh raya ini bernilai RM5 biliion sudah pun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak 2011 tetapi tiada perkembangan bila ia mahu dimulakan dan pilihan raya Teluk Intan dijadikan modal untuk melancarkan projek mega itu.
Selain Muhyiddin, Tengku Adnan dan Ahmad Shabery, ramai lagi menteri yang datang menabur janji mereka berdasarkan bidang kuasa kementerian masing-masing. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi misalnya, berjanji untuk menghadiahkan uniform baru kepada kakitangan Rela jika calon BN memenangi pilihan raya ini.
Tetapi dengan penegasan Mah beliau tidak bertanggungjawab terhadap janji menteri-menteri itu, jika ditakdirkan beliau menang nanti, bagaimanakah rakyat mahu menuntutnya?
Sepatutnya, jika ditakdirkan menang, beliau sebagai wakil rakyatlah yang perlu memainkan peranan memastikan semua janji itu dipenuhi. Ini kerana mustahil untuk rakyat dapat berjumpa atau bertanya dengan Muhyiddin, Tengku Adnan, Ahmad Shabery dan Zahid Hamidi mengenai janji bulan madu yang pernah dilafazkan mereka itu.
Pada masa yang sama, semua menteri terbabit juga tidak mungkin akan datang ke Teluk Intan lagi bagi memastikan janji yang pernah mereka buat dulu ditunaikan atau sebaliknya. Pengundi Teluk Intan hanya dapat menatap wajah menteri terbabit di kaca televisyen atau akhbar saja.
Dengan penegasan Mah beliau hanya bertanggungjawab terhadap janji dalam manifestonya saja, sahlah semua janji itu palsu belaka. Kalau menang jelas Mah tidak akan berusaha memastikan lebuh raya Banting-Taiping, akses internet dan pembangunan yang lebih rancak dilaksanakan untuk pengundi Teluk Intan.
Malah, kata-kata Mah itu juga bermaksud, beliau turut tidak akan berusaha menuntut janji uniform baru kepada anggota Rela yang dibuat oleh Zahid itu.
Oleh kerana calon BN enggan bertanggungjawab dan janji-janji itu pula ibarat janji bulan madu saja, janganlah hairan jika ada janji sehingga mahu membina KLCC di Teluk Intan ini.
Sementara itu, janji-janji dalam manifesto Mah juga hanyalah janji biasa yang boleh dibuat oleh mana-mana wakil rakyat, kecualilah janji mahu mewujudkan sebuah kampus universiti di bandar ini. Tiada keistimewaan sama sekali.
Walapun janji mewujudkan universiti ini dipertikaikan oleh ramai pengundi Teluk Intan berikutan sebuah sekolah menengah yang pernah dijanjikan di Kampung Bahagia sejak 2012 dengan kos RM27 juta dulu pun masih belum dilaksanakan lagi sehingga ini, tetapi sebagai presiden Gerakan, mendatangkan sebuah kampus universiti di Teluk Intan bukanlah sesuatu yang mustahil bagi beliau.
Ini kerana Gerakan mempunyai sebuah IPTS miliknya iaitu Universiti Wawasan yang sudah pun mempunyai beberapa kampusnya sebelum ini. Dengan keluarga beliau memiliki banyak tanah di sekitar bandar ini, tentulah tidak mustahil universiti itu mahu dibina dengan segera. Tetapi ia adalah IPTS dan bukannya IPTA serta melebarkan sayap IPTS juga bermakna meluaskan lagi sayap perniagaan bagi keluarganya dan juga Gerakan.
Untuk mewujudkan sebuah kampus IPTA di Teluk Intan, ia mungkin memerlukan pertimbangan yang lebih teliti atau hanya akan dilaksanakan dalam tempoh lama lagi kerana berhampiran bandar ini iaitu Seri Iskandar dan Tapah sudah pun ada kampus UiTM yang beroperasi.
Di Seri Iskandar, kampus UiTM sudah beberapa tahun beroperasi manakala di Tapah yang hanya sepelaungan daripada Teluk Intan, ia baru saja siap dibina. 
shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan: