SPECIAL ADS

30 Mei 2014

Pegawai SPRM suspek utama kematian Beng Hock

SHAH ALAM: Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah suspek utama kes kematian pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock dan keterangan mereka perlu dilayani dengan berhati-hati.

Peguam Gobind Singh yang mewakili keluarga Beng Hock, berhujah keterangan saksi bebas ketika inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam mendedahkan pegawai SPRM tidak bercakap benar.

Beliau mendakwa terdapat keterangan bahawa pegawai berkenaan menggunakan kekerasan terhadap Beng Hock sebelum ditemui mati, pada 16 Julai 2009.

Hujahnya, Mahkamah Koroner tidak harus mengggunakan standard bukti lebih tinggi untuk mencapai keputusan terbuka dalam kes Beng Hock.

“Terdapat cukup alasan untuk Koroner mencapai keputusan bahawa kematian adalah secara pembunuhan atau oleh orang yang hadir di pejabat SPRM, tempat si mati ditahan semalaman,” katanya di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Dua lagi anggota panel adalah Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Memetik Bernama, Gobind Singh berhujah Mahkamah Koroner dan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengekalkan keputusan terbuka inkues itu, gagal mengambil kira bahawa inkues itu lebih kepada usaha mencari fakta dalam memastikan sama ada wujud elemen jenayah dalam kematian Beng Hock.

Sementara itu, pihak pendakwa raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Tajudin dan Mohamad Abazafree Mohd Abbas, berhujah keterangan empat pakar termasuk pakar forensik British, Prof Dr Peter Vanezis ketika inkues itu mendapati kecederaan dialami Beng Hock adalah konsisten dengan kecederaan akibat jatuh.

Nadia Hanim berkata, hanya pakar dipanggil perayu (abang Beng Hock, Teoh Meng Kee), pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand tidak bersetuju dengan pandangan itu dengan merumuskan 80 peratus adalah homisid (pembunuhan) dan 20 peratus bunuh diri dengan kecederaan pada leher Beng Hock mungkin akibat jerutan.

Katanya, Dr Pornthip lebih banyak bergantung kepada gambar diambil sebelum bedah siasat pertama dan pakar patologi itu tidak pernah hadir ketika autopsi dilakukan.

“Beliau membuat spekulasi dan tidak konsisten ketika memberikan pandangannya terutama berkenaan kecederaan di leher Beng Hock. Dr Pornthip juga tidak pernah pergi ke tempat kejadian,” katanya.

Hakim Mohamad Ariff memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dalam dua minggu sebelum mahkamah menetapkan tarikh untuk menyampaikan penghakiman.

Meng Kee memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner, pada 5 Januari 2010 yang memberi keputusan terbuka bahawa kematian Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri atau dibunuh dan juga tiada pihak ketiga terbabit dalam kematian itu.

Beng Hock, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, tempat terletaknya ibu pejabat SPRM Selangor sebelum ini, pada pagi 16 Julai 2009.

Selepas Mahkamah Koroner memberikan keputusan terbuka itu, Meng Kee memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi keputusan itu disemak semula, namun Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan itu, pada 1 Disember 2011.

Meng Kee memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan, pada 2 Februari 2013 untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. - Selangor Kini

Tiada ulasan: