SPECIAL ADS

16 Mei 2014

Tiga syarikat konsesi air setuju tawaran Selangor

Tiga daripada empat syarikat konsesi air bersetuju dengan tawaran pengambilalihan kerajaan negeri Selangor bagi penstrukturan semula industri air, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.
Tiga daripada empat syarikat konsesi air hari ini bersetuju dengan tawaran kerajaan negeri Selangor mengambil alih ekuiti, aset dan liabiliti bagi tujuan penstrukturan semula industri air di Selangor, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata, syarikat terbabit adalah dua anak syarikat Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).
Katanya, keputusan itu dibuat selepas persetujuan dicapai antara Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Khalid pada mesyuarat pagi tadi.
"Mengikut persetujuan tersebut, PNHB menerima tawaran Selangor untuk mengambil alih segala ekuiti, aset dan liabiliti PNSB dan Syabas masing-masing berjumlah RM2.47bilion dan RM3.11 bilion.
"Ini bermakna tiga daripada empat syarikat konsesi air di Selangor setakat hari ini menerima tawaran pengambilalihan oleh kerajaan negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini pemegang saham Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) sudah bersetuju dengan tawaran Selangor itu pada harga RM990 juta.
Khalid berkata, memandangkan pemegang saham Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) masih tidak bersetuju dengan tawaran Selangor, persetujuan dicapai supaya bayaran bekalan air pukal Splash disemak semula bagi mendapatkan harga yang munasabah.
"Selangor masih bersedia untuk meneruskan pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti Splash sekiranya pemegang saham memberi persetujuan kepada harga yang ditawarkan oleh kerajaan negeri pada 26 Februari lalu," katanya.
Beliau berkata, penjualan ekuiti, aset dan liabiliti air bagi PNSB, Syabas dan Abass yang berjumlah RM6.57 bilion adalah selari dengan jumlah dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) bertarikh 26 Februari lalu antara Putrajaya dan Selangor.
Katanya, dengan penerimaan tawaran oleh tiga syarikat konsesi terbabit, Selangor bersetuju meneruskan penstrukturan perkhidmatan air dengan perbincangan ke arah menandatangani perjanjian jual beli saham di antara Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan pemegang saham ketiga-tiga syarikat konsesi berkenaan.
Jumlah keseluruhan untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri Selangor yang dipersetujui dalam MoU yang seterusnya melalui (KDEB) ialah sebanyak RM9.65 bilion.
Sementara itu, Khalid berkata, Selangor akan meneruskan perbincangan untuk menandatangani perjanjian penjualan dan pajak semula aset air dengan Putrajaya dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
"Penjualan aset air Selangor kepada PAAB berjumlah RM2 bilion ini akan membantu kerajaan negeri menampung keperluan membayar sebahagian daripada RM9.65 bilion bagi pengambilalihan 4 syarikat konsesi air seperti ditawarkan," katanya.
Hasil pertemuan Khalid dengan Maximus itu juga bersetuju mempercepatkan penubuhan dan perjalanan jawatankuasa yang akan memantau dan memastikan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (Skim LRAL2) dapat dilaksanakan mengikut jadual sesuai dengan keperluan operasi dan perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beliau berkata, keperluan dan kelulusan berkaitan tanah dan permit untuk menyiapkan Skim LRAL2 akan segera dikeluarkan Selangor, seperti dalam MoU serta Heads of Agreement (HoA) yang akan disempurnakan bersama oleh Putrajaya dan Selangor.
"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor percaya persetujuan meneruskan penstrukturan perkhidmatan air yang dicapai hari ini melalui pengambilalihan tiga konsesi air negeri Selangor adalah langkah pertama ke arah peningkatan pemantapan industri perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya. TMI

Tiada ulasan: