SPECIAL ADS

28 Mei 2014

Dr Asri: Melampau samak mulut, tukar darah

Bekas mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan masyarakat tidak menunjukkan reaksi berlebihan menghadapi penemuan DNA babi dalam dua coklat produk Cadbury seperti mahu menyamak mulut atau menukar darah.

Katanya, pengguna berhak menyatakan bantahan kepada Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd kerana memperdayakan rakyat Malaysia.

“Namun, berlebihan dalam (mengeluarkan) hukum seperti menyuruh samak mulut, tukar darah dan lain-lain merupakan unsur ghuluw ataupun melampau dalam beragama.

“Islam itu tidak merepek dan menyusahkan seperti demikian rupa. Sesiapa yang termakan yang haram tanpa sengaja tidak dikira dosa dan seseorang tidak akan dihukum Allah atas perkara luar dari maklumat dan kemampuannya,” katanya.

Menulis dalam Facebook, Dr Asri berkata, masyarakat juga harus mengambil kira pelbagai lagi perkara haram dan bukannya hanya dalam isu itu sahaja.

“Inilah fahaman Islam yang hanya terasa haram babi, tapi tidak terasa haram judi, riba dan rasuah sedangkan dosa dan mudarat semua itu lebih besar dari babi,” katanya.

Produk itu disahkan mengandungi DNA babi Sabtu lalu. Ia sebelum itu turut menjadi bualan di laman sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak terutama NGO Islam.

Gabungan Pertubuhan Islam bukan kerajaan (ACCIN) antaranya mahu Cadbury membayar kos membersih darah kepada semua umat Islam yang telah termakan bahan haram berkenaan.

Mereka juga merancang mengemukakan saman berbilion-bilion ringgit ke atas syarikat antarabangsa itu. TMI
 

Tiada ulasan: