TELUK INTAN 27 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya pemilihan DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan mampu merubah era politik Malaysia.
Katanya, pencalonan Dyana sekaligus menolak tuduhan Umno bahawa DAP adalah parti berasaskan kaum Cina semata-mata.
“Walaupun saya tidak mengenali Dyana secara dekat, saya bangga dan gembira kerana saya percaya dengan pilihan DAP.
“Graduan dari UiTM ini pandai dalam pengajiannya. Beliau juga berani kerana baru dua minggu jadi calon dah kena hentam dengan Umno.
“Kita betul-betul menghargai pengorbanan beliau dan sehingga hari ini beliau masih bertahan,” kata Anwar di hadapan 7,000 rakyat pada Ceramah Perdana di Jalan Selat, Kampung Terenganu, Durian Sebatang, Ahad lalu.
Menurut Anwar, pencalonan Dyana antara langkah strategi Pakatan Rakyat untuk menarik anak muda supaya bergiat aktif dalam politik serta memecahkan tembok perkauman.
“Jika kemenangan di Teluk Intan milik kita, Dyana adalah simbol pembaharuan dalam dunia politik dan kemenangan ini adalah masa depan kita semua,” katanya.
“Baik PAS, DAP atau KEADILAN, penting untuk kita buktikan pada semua bangsa tak kira Cina, Melayu, India – kita sama-sama bangkit untuk pertahan hak rakyat masing-masing tanpa mengira kaum.
“Kita mahu ramai suara anak muda di Parlimen dan inilah semangat untuk mereka,” kata Anwar lagi. KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan