Buku pertama tentang kehilangan penerbangan MH370 akan berada di rak buku Australia esok, laporan Sydney Morning Herald (SMH) hari ini.
“Flight MH370: The Mystery” (Penerbangan MH370: Misteri) ditulis oleh Nigel Cawthorne yang mendakwa dirinya “kilang menulis buku”, akan dijual mulai esok, lebih 10 minggu selepas pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang di atasnya.
Pengarang lebih 150 buku, Cawthorne tidak memberi jawapan tetapi membentangkan "teori" tentang apa yang mungkin berlaku kepada penerbangan MH370 pada 8 Mac.
Salah satu teori adalah pesawat itu mungkin sengaja ditembak jatuh semasa latihan bersama tentera Thai-Amerika di Laut China Selatan, SMH berkata dalam edisi dalam talian, sambil menambah penyelamat kemudiannya "mungkin membawa ke arah yang salah untuk menutup kesilapan".
Teori lain berpusat kepada perisian pengesanan, dengan Cawthorne menuduh MAS memilih "pakej data lebih murah yang dihantar hanya maklumat minimum dan bukan membayar yuran tambahan kecil untuk menghantar data penerbangan terperinci", lapor Daily Mail dalam talian itu.
The Sun- Herald adalah cawangan media pertama di Australia bagi mendapat naskhah buku ini.
Cawthorne membangkitkan bahawa masa transponder pesawat itu hilang pada jam 01:21am – masa rakyat New Zealand, Mike McKay, pekerja pelantar minyak di Teluk Thailand, melihat sebuah kapal terbang terbakar.
Beliau mengaitkan hal ini dengan latihan ketenteraan bersama Thai -Amerika yang berlaku di Laut China Selatan dengan kakitangan dari China, Jepun, Indonesia dan negara-negara lain, kata SMH itu.
"Latihan ini melibatkan peperangan olok-olok di darat, air dan udara, dan termasuk latihan api," Cawthorne dipetik sebagai berkata.
"Katakanlah peserta tidak sengaja menembak jatuh penerbangan MH370. Perkara seperti itu berlaku. Tiada siapa yang mahu satu lagi Lockerbie (yang menembak penerbangan 103 Pan Am oleh pengganas pada 1988), jadi mereka yang terlibat akan mempunyai banyak sebab berdiam diri mengenainya."
Cawthorne berkata, terdapat kenyataan yang sengaja dibuat dengan maklumat terutamanya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pada 24 Mac penerbangan berakhir di Lautan Hindi.
Buku ini mendakwa maklumat yang salah membawa kepada pencarian lokasi yang salah dalam persekitaran yang begitu sukar yang mungkin akan berakhir dengan tiada sebarang penemuan, lapor SMH.
"Lagipun, tidak ada bangkai ditemui di selatan Lautan Hindi, yang dengan sendirinya adalah mencurigakan," kata Cawthorne.
Teori konspirasi dilanjutkan kepada kotak hitam pesawat dengan Cawthorne mencadangkan jika ia ditemui, ia boleh jadi mana-mana kotak hitam "dijatuhkan ke laut 1,600 km dari Perth manakala pencarian berlaku di Laut China Selatan".
Satu lagi buku mengenai MH370 dijadual akan diterbitkan tidak lama lagi adalah daripada pengarang penerbangan Christine Negroni, yang menulis “Deadly Departure on TWA Flight 800” tentang sebuah kapal terbang yang terhempas di Atlantik berhampiran New York pada 1996 dan membunuh 230 di atasnya.
Semalam, dilaporkan pembuat filem India Rupesh Paul, orang di belakang filem lucah "Kamasutra 3D", sedang membuat filem berdasarkan kehilangan penerbangan MH370 itu.
"The Vanishing Act" yang bakal menemui penonton di seluruh dunia pada bulan September, sedang dipromosikan di Festival Filem Cannes, yang berakhir pada 25 Mei.
Khamis lepas, Malaysia, China dan Australia bersetuju memeriksa semula semua data berkaitan penerbangan MH370 untuk menentukan kawasan carian dengan lebih terperinci, Reuters berkata, sebagai usaha mencari pesawat itu yang kini memasuki fasa baru.
Tiga negara juga bersetuju menjalankan kajian dasar dasar laut dan mendapatkan lebih banyak kenderaan carian laut dalam dan peralatan lain, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Australia akan bertanggungjawab mendapatkan aset carian baru daripada kontraktor komersil, kata Hishammuddin, sementara Malaysia dan China akan memberi peralatan dan perkhidmatan tambahan untuk carian.
Hishammuddin berkata, beliau akan berbincang kemungkinan bantuan teknikal Amerika ketika berjumpa Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel pada sidang kemuncak di Singapura akhir bulan ini. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan