SPECIAL ADS

13 Mei 2014

PAS Terengganu mahu DUN dibubarkan,

Ekoran pengumuman tiga Adun keluar dari BN dan menjadi Adun Bebas, Pakatan Rakyat mempunyai undi majoriti dan berhak memerintah Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mei, 2014.
PAS Terengganu menggesa agar Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubarkan bagi memberi mandat kepada rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka ekoran krisis yang berlaku di negeri itu, lapor lidah rasmi PAS, Harakahdaily.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat memberitahu, BN tidak lagi mempunyai majoriti di negeri itu berikutan tiga Ahli Dewan Undangan  Negeri (Adun) mengumumkan keluar dari BN dan menjadi Adun Bebas.
"Kita baru sahaja bermesyuarat membincangkan perkara tersebut dan kita akan membuat makluman setelah keputusan diperoleh.
"Dalam keadaan sekarang BN tidak lagi mempunyai majoriti mentadbir negeri ini dan seharusnya ia diserahkan kepada rakyat sepenuhnya untuk membuat pilihan," katanya seperti dilapor Harakahdaily.
Katanya, berdasarkan kejadian di Perak sebelum ini, BN tidak boleh lagi membubarkan DUN kerana tidak mempunyai kuasa majoriti untuk membuat keputusan.
"Sekarang Pakatan Rakyat (PR) mempunyai undi majoriti dan kalau ikut dasar kita dapat memerintah negeri ini.
"Namun kita sedang berbincang dan sebarang keputusan akan kita maklum, tetapi yang penting mandat rakyat itu kita patut berikan," katanya.
Ini berikutan BN hanya mempunyai 14 kerusi dalam DUN Terengganu manakala PR 15 (14 PAS dan PKR 1) manakala Bebas tiga.
Tiga Adun BN yang mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas ialah bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud.
Ahmad membuat pengumuman itu jam 1 pagi tadi bersama Ghazali selepas Menteri Besar Terengganu yang baru Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mengangkat sumpah jam 9.30 malam tadi.
Roslee pula membuat pengumuman keluar Umno dan menjadi Adun Bebas pagi ini. TMI

Tiada ulasan: