SPECIAL ADS

22 Mei 2014

Penubuhan negara Islam tidak disuruh dalam Al-Quran,

Tokoh agamawan Imam Feisal Abdul Rauf (gambar) menyifatkan isu penubuhan negara Islam adalah suatu yang baru ditimbulkan, sebaliknya menegaskan Al-Quran dan Nabi tidak pernah menyuruh ke arah langkah tersebut.
Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cordoba Initiative itu berkata mengaitkan penubuhan sesebuah negara Islam sebagai suatu keutamaan bagi Muslim adalah tidak benar.
"Adakah Al-Quran menyuruh kepada penubuhan negara Islam? Ia hanya baru diperkatakan sekarang ini.
Imam Masjid al-Farah, berhampiran Ground Zero di kota New York itu berkata apa yang penting dalam sesebuah pentadbiran atau negara adalah melaksanakan prinsip "adil"."Ia tidak benar, Nabi Muhammad atau pengganti selepasnya tidak pernah menyuruh menubuhkan negara Islam," kata beliau semasa forum di Institut Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) hari ini.
"Sebuah negara atau pentadbiran perlu memberikan keadilan," kata beliau.
Feisal berkata usaha menubuhkan negara Islam menyebabkan berlaku perpecahan dikalangan umat Islam, mengambil contoh kemelut yang berlaku di negara Arab, atau dikenali sebagai "Arab Spring" yang masih tiada jalan penyelesaian.
"Ia menyempitkan kita dan memecahkan kita.
"Di Mesir, umat Islam berpecah manakala di Malaysia umat Islam berpecah kepada Umno dan PAS, kemudiaan ia menjadi isu agama," kata beliau.
Beliau berkata isu penubuhan negara Islam dibangkitkan oleh banyak pihak dan parti politik, tapi sebaliknya gagal menjelaskan mengenai konsep tersebut.
"Semua dunia Muslim, terdapat parti seperti PAS di Malaysia, Muslim Brotherhood di Mesir, Hamas di Palestin, semua mahukan penubuhan negara Islam.
"Tetapi mereka tiada satu hala tuju atau perjanjian ke atas yang apa mereka maksudkan...Slogan tidak menyelesaikan segala-galanya," kata beliau.
Beliau mengambil contoh dalam Pertubuhan Negara Islam Sedunia (OIC) dimana semua anggota adalah negara Islam tetapi memiliki corak pentadbiran yang berbeza.
"OIC, mempunyai 57 anggota yang majoritinya Muslim dan kita panggilnya negara Islam, tapi tidak ada persamaan dari segi bentuk pentadbiran, ada monarki, ada republik dan ada diktator dalam negara ini," kata beliau.
Mengenai penafsiran sesebuah negara Islam dengan hanya pelaksanaan undang-undang Islam, Feisal berkata langkah tersebut adalah suatu tidak munasabah.
"Satu lagi cara kamu mendefinisikan sesebuah negara Islam adalah dengan melaksanakan hukum Hudud.
"Tapi tiada mana-mana negara yang boleh dibina atau didefinisikan atas asas cara kamu menghukum penjenayah. Penjenayah bukan majoriti rakyat, penjenayah adalah kerana kesalahan yang kamu lakukan," kata beliau.
Kemelut status Malaysia sebagai sebuah negara Islam atau sekular sememangnya menjadi perhatian kebelakangan ini, tambah-tambah kerajaan PAS negeri Kelantan yang bersungguh-sungguh melaksanakan hudud.
PAS juga mengusulkan Rang Undang-Undang Persedirian ke Parlimen bagi mendapatkan restu kerajaan pusat untuk melaksanakan undang-undang kontroversi tersebut.
Bagaimanapun selepas menerima tekanan daripada parti politik dan NGO, serta selepas penubuhan jawatankuasa khas oleh Putrajaya bagi membincangkan isu tersebut, PAS menangguhkan usul tersebut ke Dewan Rakyat.
PAS memberi alasan untuk melihat hasil keputusan jawatankuasa tersebut.
Pada 2012 apabila Menteri Kabinet, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Malaysia bukan sebuah negara sekular kerana tidak pernah diisytiharkan dalam Perlembagaan.
Bagaimanapun pandangan tersebut dibidas pengkritik, malah menegaskan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman sendiri memperakui Malaysia sebuah negara sekular.
Selain itu, Suruhanjaya Reid pada 1956 yang membantu draf Perlembagaan Malaysia — tidak pernah menyebut bahawa Malaysia perlu mempunyai status negara Islam dalam Perlembagaannya.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa memegang tampuk kuasa juga bertindak mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam 2001.
Namun, tiada garis panduan atau hala tuju yang jelas bagi menyokong mengenai corak pentadbiran negara Islam daripada kerajaan sehingga hari ini. TMI

Tiada ulasan: