SPECIAL ADS

11 Mei 2014

Royalti: Kerajaan negeri kaji balik perjanjian 1975

KOTA BHARU: Pertubuhan R Malaysia mencadangkan kerajaan-kerajaan negeri menyemak dan mengkaji balik perjanjian penyerahan hak kepada Petronas yang ditandatangani 39 tahun lalu.

Presidennya, Nazri Deraman (gambar)berkata, sekiranya hasil kajian mendapati perjanjian tersebut ketinggalan zaman dan tidak adil, maka usul membatalkan perjanjain tersebut perlu dibuat segera.

“Pada pandangan kami langkah-langkah ini sesuai untuk dilaksanakan bertepatan dengan moto Datuk Seri Najib Razak iaitu "Rakyat Didahului".

“Selain itu kami juga mencadangkan negeri-negeri pengeluar minyak meluluskan usul memohon kenaikan kadar royalti daripada 5 kepada 20 peratus bagi menjejaki langkah Dun Sarawak,” katanya di sini.

Pada 29 Mei lalu, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membenarkan usul bagi menggesa Kerajaan Persekutuan menyemak semula kadar bayaran royalti minyak Sabah.

Manakala pada 6 Mei lepas usul Dun Sarawak pula melulus usul tuntutan 20 peratus royalti minyak daripada 5 peratus sebelum ini. Usul itu mendapat sokongan sebulat suara 68 ahli dewan yang hadir.

Nazri juga berkata, isu tersebut menjadi keutamaan perjuangan R Sabah sebelum ini.

“R mengucap tahniah kepada kepimpinan baru Sarawak yang amat berani dan konsisten memperjuangkan hak mereka dalam soal kadaulatan hasil bumi.

“Ia patut dicontohi semua negeri-negeri pengeluar minyak yang lain dengan membawa usul di DUN dalam persidangan terdekat,” katanya.

Menurutnya juga rakyat Kelantan masih dinafikan hak royalti 5 peratus, walaupun perjanjian yang sama ditandatangani di antara Petronas dengan Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Kata beliau juga kenaikan royalti itu amat wajar memandangkan negeri-negeri pengeluar minyak merupakan antara negeri termiskin dan ketinggalan aspek pembangunan di Malaysia.

Oleh itu kata beliau usul tersebut perlu mendapat sokongan penuh semua Adun melampaui batasan politik kepartian demi kepentingan rakyat.

Katanya juga, R Malaysia bersedia berbincang dan bekerjasama dengan kerajaan negeri pengeluar minyak tersebut bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“R akan menghantar surat bagi mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan Kelantan, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang dalam masa terdekat,” ujarnya.

Royalti 20 peratus sudah lama diperjuangkan R Malaysia dan Pakatan Rakyat memasukkannya sebagai manifesto pada pilihan raya umum ke-13. HD

Tiada ulasan: