SPECIAL ADS

12 Mei 2014

Sengat bitcoin

KUALA LUMPUR: Anda mungkin pernah mendengar mengenai Bitcoin. Ia adalah sebuah mata wang digital yang telah disebut-sebut sebagai masa depan wang, namun ada juga yang menganggapnya hanya sebagai teknologi khayalan yang pasti akan gagal.

Banyak cerita mengenai Bitcoin telah timbul. Bank pusat China telah melarang institusi kewangan daripada mengendalikan urus niaga Bitcoin. Pada bulan Januari, Bank Negara Malaysia memberi amaran kepada pengguna supaya tidak menggunakan Bitcoin, kerana ia tidak diiktiraf sah di negara ini.

Kemudian terdapat pula dakwaan-dakwaan pelik. Baru-baru ini, sebuah syarikat pertukaran bitcoin yang berpangkalan di Tokyo, Mt. Gox memfailkan perlindungan muflis, dan mendakwa bahawa 850,000 bitcoin bernilai AS$473 juta (RM1.55 bilion) telah hilang daripada akaunnya.

Ini hanyalah kes-kes yang terbaru. Bitcoin juga telah mendapat perhatian kerana pertalian dengan aktiviti-aktiviti haram, terutamanya perdagangan dadah dalam talian. Tahun lalu, Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) menutup pasaran gelap atas talian, Jalan Sutera dan merampas 144,000 bitcoin bernilai AS$28.5 juta (RM93.2 juta).

Jadi apakah sebenarnya Bitcoin ini, dan haruskah rakyat Malaysia bimbang atau teruja mengenainya? Walaupun Bank Negara telah memberi amaran terhadap penggunaannya, tidak ada apa yang dapat memberhentikan penggunaannya sebagai mata wang untuk urus niaga perdagangan.

Bitcoin telah terbukti mempunyai potensi di beberapa tempat di seluruh dunia, tetapi potensinya sebagai mata wang bagi urus niaga di Malaysia adalah tidak menentu.

Bitcoin dipercayai telah diilhamkan selepas krisis ekonomi AS 2008 –peristiwa-peristiwa yang akhirnya membawa kepada kemelesetan global. Ideanya adalah untuk mencipta wang digital, sesuatu yang mudah, yang tidak boleh dikesan dan bebas daripada kawalan kerajaan dan bank.

Mata wang digital ini telah mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan pada tahun-tahun kebelakangan ini. Pada bulan Februari 2011, nilai bitcoin menyamai nilai dolar AS (1 Bitcoin = AS$1). Nilainya sejak itu telah naik dan turun setiap tahun, sama seperti mata wang. Nilainya mencapai puncak pada November tahun lepas apabila satu bitcoin adalah bersamaan dengan hampir AS$1,250 (RM4,090). Pada bulan Januari tahun ini, nilainya mencapai tahap antara AS$800 dan AS$900 (RM2,608 dan RM2,934).

Nilai yang dikenakan kepada suatu perisian pastinya menjana minat, dan ada di Malaysia yang berminat untuk mengambil peluang menerusi kejayaan mata wang digital ini.

Di barisan hadapan adalah Colbert Lau, pengasas Bitcoin Malaysia. Beliau mempunyai perancangan bagi bitcoin di Malaysia, dan kini mencari sokongan dan rakan kongsi untuk merealisasikannya. Tetapi Lau adalah seorang ahli perniagaan – beliau juga adalah pembeli dan penjual bitcoin.

Satu aspek dunia bitcoin adalah pembelian dan penjualan mata wang. Sama seperti bursa saham di mana saham diniagakan, pengguna membeli dan menjual bitcoin bagi pelaburan secara aktif, dan membentuk komuniti kecil peniaga bitcoin.

Menurut Lau, terdapat dari 300 hingga 400 orang peniaga Bitcoin dalam komunitinya. Kumpulan itu turut berkembang, dengan 10 hingga 20 orang baru menyertai mereka setiap bulan. Kumpulan itu berkomunikasi menerusi WhatsApp dan Kakaotalk, di mana mereka mengumumkan jumlah yang mereka telah beli atau dijual. Sejumlah 30 pembelian boleh berlaku setiap hari.

Bagaimanapun, Lau menegaskan bahawa dia tidak mengetahui kesemua urus niaga dalam kumpulan itu, kerana peniaga boleh memilih untuk tidak mengumumkan pembelian mereka secara terbuka. "Ada rakyat Malaysia yang turut membeli dari luar negara, dari negara-negara seperti Singapura dan China," katanya kepada The Heat.

Namun ini hanyalah aspek pembelian bitcoin. Sebuah aspek lain adalah ‘perlombongan’. Satu-satunya cara untuk menjana lebih banyak bitcoin adalah dengan menjadikan sebuah komputer sebagai sebahagian daripada rangkaian pengguna bitcoin, sebagai lejar awam bagi setiap transaksi bitcoin.

"Saya boleh memberitahu anda bahawa terdapat sekurang-kurangnya 1,000 orang pelombong bitcoin di Malaysia," kata Lau.

Menurutnya, beberapa pelombong melombong di rumah dengan perkakasan yang kurang canggih. Yang lainnya pula menggunakan beratus-ratus komputer di premis kilang atau perniagaan mereka. Lau bagaimanapun berkata bahawa beliau tidak boleh mendedahkan lokasi mereka.

Perlombongan bitcoin tidak menyalahi undang-undang. Ia adalah cara untuk mendapatkan bitcoin dan membantu rangkaian pengguna mengekalkan lejar awam. Tetapi kerana jumlah bitcoin yang anda lombong adalah ditentukan oleh kuasa kelengkapan yang anda miliki, beberapa pertubuhan telah mewujudkan ‘kilang-kilang’ perlombongan bitcoin. TK

sumber 

Tiada ulasan: