SPECIAL ADS

15 Mei 2014

Ada apa pada Muslim moderat?

Kenyataan penuh kontroversi oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdullah Rahman memenuhi dada-dada akhbar dan media alternatif pada ketika ini. Antara kenyataan beliau yang paling mendapat perhatian ramai ialah label penceroboh yang digunakan ke atas warganegara Tionghua.
Berikutan kenyataan tersebut, ramai rakan bukan Islam saya bertanya; “kenapa tidak ramai Muslim Melayu moderat (moderate Malay Muslims) yang bangun menjawab kenyataan sebegitu rupa?”
Sebelum menjawab persoalan tersebut, terdetik pula persoalan di hati kecil saya: Apakah itu Muslim moderat?
Rata-rata jika kita mencari definisi Muslim moderat kita akan terjumpa pelbagai telahan yang mencurigakan. Antara definisi yang ada ditemui termasuk: seorang Muslim yang menolak keganasan dan fahaman extremis; dan juga seorang Muslim yang mendukung fahaman atau polisi Barat.
Sama ada disedari ataupun tidak, takrifan-takrifan sebegini memberikan gambaran tidak tepat kepada agama Islam itu sendiri.
Hakikatnya, terma Islam moderat atau Muslim moderat seolah-olah menyatakan bahawa majoriti umat Islam berfahaman ekstremis, dan menyokong keganasan yang dilakukan atas nama Islam.
Adakah pandangan ekstrem ataupun keganasan selaku prasyarat sebelum menjadi seorang Muslim yang bertakwa dan menurut perintah Allah? Adakah seseorang Muslim itu memerlukan terma moderat sebagai syarat yang diterima pakai oleh masyarakat majmuk?
Perkataan Islam membawa makna begitu indah; antaranya termasuklah maksud selamat, berada dalam keadaan penuh kedamaian. Islam adalah rahmatan lil alamin, rahmat kepada semua.Islam tidak menganjurkan kebencian antara satu sama lain.
Firman Allah SWT, Surah Al-Hujuraat ayat 11, maksudnya; “Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain melalui gelaran buruk.”
Bagaimana pula dianjurkan semangat saling membenci sementara kita dilarang daripada merendah-rendahkan sebuah kumpulan manusia yang lain.
Dari konteks yang diberikan oleh al-Quran, kenyataan presiden Isma itu tidak menepati inti pati jiwa keIslaman. Label penceroboh ke atas warganegara yang sudah saban tahun membanting tulang untuk membantu memajukan Malaysia, adalah sesuatu yang bercanggah dengan semangat persaudaraan yang digalakkan Islam.
Islam menggalakkan umatnya untuk sentiasa bersopan-santun walaupun berhadapan dengan mereka yang tidak beradab. Firman Allah dalam Surah Al-Furqaan ayat 63, “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”
Saya menganjurkan bahawa seorang Muslim sepatutnya tidak memerlukan label moderat, kerana ringkasnya, Islam itu sememangnya sudah pun menganjurkan kesederhanaan (awsatuha) dalam segala tindak-tanduk umatnya. Keseimbangan antara dunia dan akhirat perlu dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan agar keselamatan ini dapat dicapai, di dunia dan akhirat.
Berbalik kepada persoalan rakan-rakan saya tadi, adakah mungkin sebenarnya orang Melayu Islam di Malaysia sendiri tidak begitu memahami agama mereka sendiri, ataupun terlalu mementingkan bangsa sehingga melupakan ajaran yang telah pun diberikan oleh Rasulullah SAW lebih kurang 1400 tahun dahulu berkait hubungan sama manusia?
Islam merupakan sebuah agama yang penuh dengan toleransi, menerima perbezaan pendapat dan menggalakkan nasihat-menasihati dengan penuh kesabaran dan keimanan.
Firman Allah dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9; “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Kesimpulannya, wujud keperluan dalam kalangan umat Islam, khususnya di Malaysia dalam meningkatkan penghayatan terhadap agama yang kita cintai, terutamanya dalam konteks hubungan antara kaum dan agama.
Islam itu sememangnya sudah pun sempurna dan kita perlu membuktikan yang umat Islam tidak memerlukan sebuah label moderat kerana Islam itu sendiri adalah agama kedamaian, yang syumul lagi sempurna. – SH/TMI


Nurul Izzah Anwar
* Penulis adalah ahli Parlimen Lembah Pantai.

Tiada ulasan: