SPECIAL ADS

25 Mei 2014

Bersediakah kita untuk bangsa Malaysia? –

Malaysia sudah 57 tahun merdeka.

Namun, kita masih sering melaungkan bahawa politik di Malaysia masih berasaskan perkauman dengan masih melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kononnya hanya menguntungkan Melayu dan menyekat pembangunan negara yang sepatutnya berkembang lebih pesat.

Justeru, dasar ini sering diserang seolah-olah kaum bukan Melayu yang kebuluran dan merempat semuanya kerana dasar yang zalim ini.

Ada juga parti politik yang melaungkan kerajaan BN yang mendokong dasar ini berlaku zalim dan menyeru kesamarataan demi kemaslahatan Malaysia.

Kononnya mereka tidak mahu antara kaum di Malaysia dibeza-bezakan dengan nama Melayu, Cina dan India. Semuanya Malaysia saja.

Justeru sebagai contoh ekuiti 30% Bumiputera harus dihapuskan dan institusi pendidikan Melayu dibuka kepada semua kaum. Apabila ini berlaku, barulah definisi Malaysian Malaysia yang sering terkeliru dengan 1Malaysia ditepati.

Saya ingin mengajak semua untuk melihat negara jiran kita iaitu Indonesia. Di sana juga terdapat bangsa Melayu, Cina dan India.

Tetapi mereka tidak mengguna pakai nama bangsa mereka. Contohnya, Lim Guan Eng tidak boleh menggunakan nama beliau itu sekiranya dia warganegara Indonesia.

Selain itu, mereka tidak bercakap bahasa etnik mereka dan juga tiada Sekolah Jenis Kebangsaan untuk menyekolahkan anak bangsa mereka.

Tidak lupa juga tiada akhbar bahasa Cina atau bahasa Tamil. Anda hanya akan melihat nama Indonesia mereka dan mereka bercakap dan membaca akhbar bahasa Melayu-Indonesia dan bersekolah di satu jenis sekolah sahaja.

Di kaki lima sebuah lorong di Jakarta, saya pernah melihat penjual karpet yang berwajah Cina dan seorang yang berwajah India bercakap bahasa Melayu-Indonesia dengan fasih.

Saya akui agak terkejut dan cemburu kerana jarang senario itu dapat dilihat di Malaysia. Itulah definisi tepat “Indonesian Indonesia” atau “1Indonesia”.

Di Thailand juga situasinya sama.

Berbalik ke Malaysia, ironinya parti politik ini tidak pula mengajak kerajaan Malaysia mencontohi Indonesia.

Dalam menyeru kerajaan menghapuskan intipati Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti UiTM dan ekuiti 30%, mereka masih mahu mengekalkan ke-Cinaan atau ke-Indian mereka seperti terus memperkasa SJK dan terus mencetak akhbar bahasa ibunda selain bebas mengamalkan bahasa mereka, jauh sekali menukar nama.

Selain itu, mereka masih ada ekstremis NGO seperti Dong Zong dan Hindraf yang tugasnya terus mengasak.

Tetapi pada masa yang sama memihak kepada Melayu harus dihapus atau dikurangkan atas nama keadilan.

Lebih licik lagi berselindung di sebalik laungan urus tadbir yang baik, ketelusan dan sebagainya seolah-olah dasar pro-Melayu ini hancur berkecai kerana rasuah dan ketirisan oleh kerajaan semata-mata.

Sayangnya, ada juga orang Melayu yang dengan rela hati sanggup bercakap bagi pihak mereka yang sekarang sibuk berkempen untuk sebuah pilihan raya kecil (PRK).

Mungkin dia lupa bahawa jika kaum majoriti merasa terpinggir dan tidak puas hati itu akan lebih membahayakan kestabilan negara. Dia juga lupa dia sedang menggunakan kelebihan yang dia tentangi.

Kaum Melayu sendiri juga dilihat tidak cekap dalam menangani permainan politik halus ini.

Sebahagiannya membalas ekstremisme dengan ekstremisme.

Mereka tidak tangani dengan cara berilmiah. Sebahagian besarnya pula terlalu selesa dan terbuai dengan keistimewaan yang diberi sekian lama.

Ada juga sebahagian yang terpedaya dan diperkuda, dan ada juga yang langsung tidak mengambil tahu.

Inilah hakikat bangsa majoriti di Malaysia yang tidak kompetitif.

Justeru, harus diakui umumnya rakyat Malaysia belum bersedia untuk mengorak langkah ke hadapan dalam merealisasikan bangsa Malaysia dalam erti kata sebenar.

Senario bangsa Malaysia secara literal boleh dilihat di Indonesia tadi.

Kita di Malaysia masih dikelirukan dengan laungan-laungan politik yang licik dan penuh muslihat dan pemikiran kita dibentuk olehnya.TMI

Afizuddin Amir Hasim

Tiada ulasan: