SPECIAL ADS

11 Mei 2014

‘Saya akan bunuh awak seterusnya,’ pemanggil ugut teman wanita penumpang MH370

Sarah Bajc, teman wanita Philip Wood yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH370 menerima ugutan bunuh dan beberapa panggilan telefon aneh sejak pesawat itu hilang pada 8 Mac, lapor NBC News. – Gambar fail, 11 Mei, 2014.
Teman wanita penumpang warga Amerika Syarikat (AS) yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH370 menerima ugutan bunuh dan beberapa panggilan telefon aneh sejak pesawat itu hilang pada 8 Mac, lapor NBC News.
Sarah Bajc, teman wanita Philip Wood, juga dirompak dua kali sejak kehilangan pesawat itu.
Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) sedang menyiasat kejadian 'menakutkan' yang mengganggu Bajc.
Beberapa imej lucah dan penggilan telefon menyeramkan juga diterima daripada nombor China yang sama.Bajc memberitahu NBC News bahawa dia menerima pesanan teks ringkas yang mengugut, "Saya akan datang bunuh awak pula seterusnya," kira-kira dua minggu selepas pesawat itu hilang.
"Ia satu lagi kejadian yang membuatkan saya tidak tahan, ia sangat mengganggu," kata Bajc kepada NBC News.
Menurut Bajc, panggilan telefon dan mesej itu bermula selepas pangsapurinya diceroboh masuk buat pertama kali, seminggu setengah selepas pesawat MH370 hilang.
"Sesiapa pun yang masuk tidaklah begitu berhati-hati kerana saya seorang yang kemas, oleh itu, saya serta-merta dapat nampak beberapa barang sudah digerakkan," katanya kepada NBC News.
"Penjaga rumah saya tiada, jadi ia tidak mugkin dia dan saya selalu sampai ke rumah sebelum anak saya. Kata laluan pada peti besi saya diresetkan, dan itu hanya berlaku apabila kata laluan yang salah ditekankan sebanyak tiga kali."
Bajc memberitahu NBC News pencerobohan kali kedua berlaku beberapa minggu selepas itu.
"Jiran saya nampak dua orang meningggalkan rumah saya. Saya memang tidak jangkakan akan ada privasi (di Beijing)."
Dia memberitahu NBC News bahawa panggilan telefon berhenti selepas agen FBI ditugaskan untuk menolong dan keluarga Woods dimaklumkan tentangnya.
Bajc sedang mengetuai seruan oleh saudara-mara penumpang supaya para penyiasat menyiarkan data asal tentang pesawat hilang itu.
Beliau juga menyelar pegawai Malaysia dengan mengatakan penerimaan Malaysia tentang analisis data oleh syarikat satelit Britain Inmarsat tidak dikaji selidik secara lebih saintifik.
"Mereka gagal berkongsi dengan kami mengapa mereka menerima sumber tunggal (Inmarsat) bagi analisis yang menggunakan kaedah yang tidak pernah dicuba sebagai asas untuk mengesahkan pesawat itu di dasar laut tanpa sesiapa yang terselamat," dipetik dari emelnya kepada media dalam The Wall Street Journal.
Beliau turut menyelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan akan ada laporan awal untuk pihak umum dalam temuramah eksklusif CNN.
"Saya bagai tidak percaya dengan perubahan perdana menteri ini... beliau sedang membaca skrip yang ditulis oleh seorang perunding media profesional berkelayakan," kata Bajc kepada CNN.
Beliau juga mengetuai usaha merayu kepada pemegang saham pembuat pesawat Boeing agar memberikan tekanan untuk jawapan selepas gagal mendapat sebarang maklumat daripada Putrajaya dan Malaysia Airlines bagi persoalan yang berlegar tentang pesawat hilang tersebut.
Sebelum ini, Bajc juga menerima emel daripada eksekutif senior Fox yang menawarkan untuk mengumpul berjuta dolar jika dia setuju tidak meminta apa-apa tuntutan pampasan selepas itu.
Eksekutif itu kemudian dipecat daripada rangkaian berita itu.
Bajc sedang dalam proses berpindah dari Beijing untuk tinggal dengan teman lelakinya, pekerja IBM Malaysia yang berusia 50 tahun.
Woods antara 239 penumpang yang hilang dalam pesawat itu. Beliau dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur apabila Boeing 777-200 ER itu lenyap.
Pencarian udara dan laut menyeluruh dijalankan di Lautan Hindi tetapi gagal mendapatkan apa-apa petanda tentang pesawat tersebut. TMI

Tiada ulasan: