TELUK INTAN Peguam berusia 27 tahun lulusan UiTM, Dyana Sofya Mohd Daud hari ini diumumkan sebagai calon DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat pengumuman itu di pusat gerakan pilihan raya kecil DAP di Bandar Baru Teluk Intan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi membuktikan kepelbagaian DAP sebagai sebuah parti politik.
Dalam ucapannya, Dyana menyentuhkan usaha memecahkan halangan kaum dan agama, dan mencari formula yang sesuai umpama "teh tarik' Malaysia yang digemari semua orang.
Katanya, teh tarik digemari semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama dan identiti seumpama itulah yang diperlukan oleh rakyat Malaysia.
Dalam sidang akhbar kemudiannya, Dyana berkata bahawa dia tidak bimbang dengan percubaan untuk mencemarkan reputasinya yang telah pun bermula di kalangan sesetengah blogger.
"Mereka fikir kerana saya seorang wanita, maka saya akan berhenti politik. Tetapi maaflah, saya tidak akan berganjak dari sini," kata Dyana, yang mempunyai wajah seiras foto seorang wanita memakai bikini yang disiarkan dalam beberapa blog sebelum pengumuman hari ini.
MP Petaling Jaya Utara Tony Pua akan bertindak sebagai pengarah pilihan raya DAP untuk pilihan raya kecil Teluk Intan.
Dyana Sofya merupakan setiausaha politik kepada Kit Siang. Sebelum ini, kebanyakan bekas setiausaha politik Kit Siang dipilih sebagai wakil rakyat.
Mereka termasuk ahli exco kanan Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan ahli exco Ean Yong Hian Wah, exco Pulau Pinang Chow Kon Yeow, MP Seputeh Teresa Kok, dan MP Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.
Dyana menyertai parti itu pada tahun 2012 dan kemudian membantu kempen Kit Siang dalam pilihan raya umum ke-13 di Gelang Patah.
Beliau secara terbuka diperkenalkan oleh Kit Siang pada konvensyen DAP sebagai setiausaha politiknya yang baru selepas PRU13.
Berusia 27 tahun dan menjadi ahli politik sepenuh masa, Dyana berasal dari Ipoh, tetapi kini bertugas di kawasan pilihan raya Kit Siang di Parlimen Gelang Patah.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.
Penamaan calon PRK Teluk Intan akan diadakan pada 19 Mei.
Dalam pilihan raya umum ke-13, Seah, 48, menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Bagi kepimpinan pusat parti itu, Dyana dilihat sebagai calon yang sesuai untuk membantu menembusi kawasan majoriti Melayu.
Walaupun Teluk Intan merupakan kerusi majoriti Cina, ia mempunyai ramai penduduk Melayu. Kawasan ini terdiri daripada 42 peratus pengundi Cina, Melayu (38 peratus) dan India (19 peratus).
Dyana juga dijangka dapat mengurangkan sebarang kemungkinan penentangan di kalangan pengundi Islam terhadap DAP yang kuat menentang undang-undang hudud.
Jika Dyana menang, beliau akan menjadi ahli Parlimen Melayu ketiga dari DAP, selepas MP Bayan Baru Zairil Khir Johari dan MP Raub Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz.
Dalam konteks politik serantau, Dyana dilihat sebagai calon kompromi kepada Hew, yang dikenali sebagai pesaing kuat kepada pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming. MK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan