SPECIAL ADS

23 Mei 2014

Najib mungkir janji,

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa memungkiri janji apabila mengatakan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) akan dimuktamadkan penghujung tahun ini, kata Pengerusi Bantah TPPA Nizam Mashar (gambar).
Nizam dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata, kerajaan menerusi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed, sebelum ini berjanji TPPA hanya akan dimuktamadkan apabila kesemua 75 bahagian Garis Merah yang diketengahkan Bantah TPPA mendapat perhatian sepenuhnya.
Laporan agensi berita nasional Bernama pada 23 Mei yang menyatakan Najib mengumumkan TPPA perlu dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
Beliau turut berkata, Bantah TPPA ingin mengingatkan Najib akan janji beliau sebelum ini yang berkata, TPPA hanya akan termeterai menurut terma yang ditentukan oleh Malaysia."Kami menganggap pengumuman itu sebagai mungkir janji," kata Nizam dalam kenyataan itu.
"Panggilan untuk menyelesaikan rundingan yang melibatkan 12 negara dalam tempoh 12 bulan tanpa memikirkan langsung kepastian maklum balas, penglibatan aktif dan ketelusan yang sepatutnya bagi orang awam dan pihak berkepentingan yang berkaitan jelas menunjukkan Najib tunduk menyerah kepada tuntutan-tuntutan pihak lain tanpa menghirau hak-hak kebenaran rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya.
Nizam berkata, Najib perlu bersedia untuk menarik diri daripada rundingan TPPA kerana ia hanya membuang masa untuk meneruskan perjanjian yang tidak menjamin kedaulatan negara.
Bantah TPPA juga katanya meminta perdana menteri itu  untuk tidak sentiasa menyebut perjanjian ini mempunyai lebih banyak faedah berbanding dengan kos pelaksanaannya di Malaysia.
"Kami meminta perkara ini kerana perdana menteri dan kerajaan Malaysia masih belum menunjukkan apa-apa bukti kukuh, dan oleh itu mampu dianggap sebagai khabar angin," katanya.
Nizam berkata, MITI sebelum ini berjanji seawal Ogos 2013 untuk menghasilkan satu laporan interim Analisis Kos-Faedah (CBA) dan juga laporan Penilaian Kepentingan Negara (NIA) dalam tempoh dua bulan di mana mereka terus-menerus berkata sedang diusahakan dan bakal menjadi asas keputusan kerajaan untuk TPPA .
"Jika ya, bagaimana pula Najib menjanjikan ‘faedah melebihi kos’ apabila dokumen-dokumen kajian yang menentukan sedemikian masih belum lagi disiapkan atau diedar kepada umum?" soalnya.
"Kata-kata mengelirukan tanpa fakta sebeginilah yang menjadikan rakyat dan pihak berkepentingan teragak-agak di dalam urusan kerajaan sepanjang rundingan perjanjian ini," katanya.
Malaysia juga kata Nizam bukan satu-satunya negara yang mempunyai keraguan terhadap TPPA.
Mengambil contoh Australia, Nizam berkata, negara itu masih berpegang teguh menentang pelaksanaan penyelesaian pertikaian pelabur (ISDS) dan rakyat New Zealand pula membantah sekerasnya syarikat-syarikat pertanian yang melanggar hak sempadan mereka.
"Tambahan, Bantah TPPA juga mempersoalkan kenyataan terkini Mustapa untuk lebih telus di dalam rundingan TPPA seperti dilaporkan Bernama pada 20 Mei.
"Bolehkah beliau akur untuk telus dan pada masa yang sama menekan perjanjian ini semata-mata untuk memenuhi tarikh akhir yang diumumkan secara mengejut oleh perdana menteri kita?" katanya.
Jelasnya lagi, masyarakat sivil masih tidak diberi peluang untuk terlibat secara aktif dalam rundingan TPPA untuk memastikan kehendak mereka dipenuhi dan bukan diancam sebaliknya.
"Bantah TPPA ingin mengetahui perincian perjanjian itu, bukan sekadar diberi gambaran kasar yang hanya menunjukkan permukaannya sahaja di dalam sesi-sesi pertemuan yang selalu dijalankan MITI sehingga hari ini.
"Apa yang kita lihat setakat ini dalam berinteraksi dengan kerajaan adalah kekerapan janji untuk mempertimbangkan 75 Garis Merah yang kami tekankan," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, tanpa kebenaran untuk berbincang secara terperinci bagi setiap bab-bab yang hampir siap, pihaknya tidak boleh jamin dan juga tidak dapat membuktikan MITI berpegang kepada janji.
"Kami masih belum mendapat kepastian tentang apa yang Mustapa janjikan dan – dalam sesetengah perkara – kami dimaklumkan wujud percanggahan pendapat dari sumber dalaman kementerian itu khususnya isu perubatan dan harta intelek," katanya.
Tambah Nizam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam satu ucapan membantah TPPA mengingatkan rakyat Malaysia apabila kerajaan kita menyertai perjanjian antarabangsa, kita mempunyai kecenderungan untuk rugi.
"Oleh itu, ia satu keperluan rundingan TPPA mendapat pendedahan kepada orang awam dan membenarkan maklum balas membina daripada pihak berkepentingan untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat manfaat daripadanya," katanya lagi. TMT

Tiada ulasan: