SPECIAL ADS

12 Disember 2014

Anwar mahu Najib tegas di tengah ketidaktentuan ekonomi

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini. Beliau menggesa Datuk Seri Najib Razak memperlihatkan kepimpinan lebih tegas demi kestabilan negara.  – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefl, 12 Disember, 2014.
Dengan ekonomi menuju ketidaktentuan akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia dan ringgit yang semakin lemah terhadap dolar Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Datuk Seri Najib Razak bangkit dan memberikan kepimpinan yang tegas untuk negara.
Katanya, yang lebih menakutkan ialah ekonomi dalam keadaan yang tidak dikemudi dengan baik manakala nakhodanya pula tidak kelihatan.
"Di manakah kepimpinan kita? Tidak pernah keluar satupun kenyataan daripada perdana menteri merangkap menteri kewangan mengenai keadaan ekonomi negara dan permasalahan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat dan bebanan ekonomi lebih besar yang bakal mereka hadapi.
"Tiada sebarang tindakan dilakukan dan sebaliknya pemimpin Umno-Barisan Nasional lebih gemar membuat penafian. Sungguh tidak bertanggungjawab Najib dan jemaah menteri membiarkan negara dalam keadaan tergantung dan penuh debaran.
"Rakyat perlukan jawapan. Perdana menteri mesti bertindak segera dan jangan tangguhkan penjelasan," kata ketua pembangkang itu pada satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Harga minyak mentah turun di bawah AS$60 (RM209.06) setong buat kali pertama sejak 2009, membantu menolak ringgit kepada paling rendah dalam masa lima tahun kepada RM3.5073 bagi setiap dolar AS minggu ini, Bloomberg melaporkan hari ini.
Dalam memberikan gambaran yang suram, Anwar berkata pendapatan tambahan RM25 bilion diunjurkan Putrajaya dalam Bajet 2015 mungkin terpadam dan kerajaan akan menghadapi masalah mengurangkan tahap defisit negara kepada 3% GDP tahun depan.
Ketua umum PKR itu memberi amaran yang ‘sovereign rating’ negara pasti akan menghadapi risiko penurunan taraf dan pertumbuhan ekonomi akan terjejas dengan penguncupan aktiviti ekonomi domestik.
Rakyat Malaysia katanya, akan menghadapi masa hadapan yang kelam akibat kenaikan harga barang makanan, terutama yang diimport, dengan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS.
Mereka akan tambah terbeban dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan mulai April, sementara harga pasaran minyak sawit mentah, getah dan timah yang susut secara mendadak bakal lebih menyusahkan rakyat.
"Seperti biasa, daripada mengambilkira kebimbangan kami dan memperbaiki keadaan, perdana menteri memilih untuk membenam semua pemasalahan dengan mengambus segala permasalahan kewangan negara ke dalam pertimbang dan penceraan yang telus," katanya. TMI

Tiada ulasan: