SPECIAL ADS

15 Disember 2014

Harga minyak jatuh, jadikan Malaysia paling lemah di Asia Tenggara

Malaysia tempat paling lemah di Asia Tenggara berikutan kejatuhan harga minyak dan peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat, kata konsultan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Disember, 2014.
Malaysia muncul sebagai tempat paling lemah dalam Asia Tenggara berikutan penurunan semasa harga minyak mentah dunia dan peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang melemahkan ringgit berbanding dolar AS, kata konsultan kredit antarabangsa.
Menulis dalam ruangan Macroscope di akhbar Hong Kong, South China Morning Post, Nicholas Spiro berkata pengeksport minyak itu juga lebih sensitif kepada kenaikan pengeluaran Perbendaharaan AS kerana ia mempunyai salah satu saham terbesar pegangan asing dalam bon matawang tempatan di pasaran berkembang (Ems).
Beliau berkata negara Asia yang berkembang sudah membuktikan ia secara relatifnya mampu bertahan terhadap sentimen kemerosotan, sebahagiannya disebabkan pelabur lebih positif terhadap rantau itu berbanding negara Eropah berkembang dan Amerika Latin, dan juga ekonomi utama Asia adalah pengimport minyak dan akan mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak.
“Tetapi satu negara dalam rantau itu terkeluar daripada aspek kelemahannya: Malaysia,” katanya dalam kolum akhbar itu.
Pengarah urusan firma perunding berpangkalan di London Spiro Sovereign Strategy yang khusus dalam dana dijamin kerajaan di Eropah berkata saham Malaysia jatuh 12% dalam tempoh 3 bulan, digambarkan sebagai “penurunan tercuram” di kalangan EMs utama, sementara ekuiti Indonesia dan Thailand hanya jatuh 0.8% dan 2.5% masing-masing bagi tempoh yang sama.
Hampir serupa, ringgit menjunam hampir 11% berbanding dolar AS sejak penghujung Ogos hingga lima tahun ke bawah, sementara rupiah Indonesia, bath Thailand, peso Filipina hanya jatuh 5.3% dan 2% masing-masing.
Bank Negara Malaysia kali terakhir berkata ringgit pada RM3.49 berbanding dolar AS dan RM2.66 kepada dolar Singapura hari ini.
Di sebalik hasil bon matawang tempata Malaysia sepanjang 10 tahun meningkat secara sederhana sejak harga minyak jatuh pada Oktober, Spiro berkata pengaliran masuk asing ke dalam pasaran hutang kerajaan negara itu menukar ia kepada aliran keluar.
Beliau berkata bon Malaysia kekal tidak menarik kerana hasil yang rendah dan memetik data daripada Bank Amerika Merril Lynch, yang mengesan pegangan asing dalam hutang domestik EM, pasaran tempatan bon Malaysia menghadapi aliran keluar AS$900 juta pada Oktober.
Sebaliknya, pasaran bon Indonesia dan India menikmati AS$1 bilion dan AS$600 juta aliran masuk, susulan hasil lebih tinggi dan “semangat dijana oleh pemilihan pemimpin berfikiran baharu di kedua-dua negara”.
“Malah, kedua-dua kerajaan India dan Indonesia berjaya mengambil kesempatan terhadap kejatuhan harga minyak untuk melaksanakan pembaharuan fiskal yang sangat diperlukan.
“Malaysia, sebaliknya, mengalami kemerosotan dalam fiskal dan imbangan akaun semasanya,” kata konsultan itu.
Spiro berkata, satu pertiga sumber Malaysia datang daripada eksport minyak dan gas, boleh menyebabkan kewangan awam negara berada dalam keadaan membimbangkan dan oleh itu, kredibiliti polisi fiskal kerajaan kini bergantung kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April 2015.
Beliau juga memberi amaran kejatuhan harga minyak boleh memburukkan lagi kedudukan keseimbangan bayaran Malaysia, berkata lebihan akaun semasanya sudah “menurun dengan teruk” pada Oktober, dan beliau menjangka ia akan terus menyusut jika harga minyak masih tidak stabil.
Spiro juga melahirkan kebimbangan berhubung pemilikan asing “sangat tinggi” dalam pasaran hutang domestik Malaysia, kerana pasaran berubah dan Rizab Persekutuan AS kelihatan mula meningkatkan kadar faedah pada pertengahan tahun depan.
Beliau berkata di sebalik aliran keluar daripada pasaran bon negara baru-baru ini, masih ada 45% pegangan asing dalam pasaran, iaitu lebih tinggi daripada negara seperti Indonesia yang ada saham 38%, Thailand (18%), Brazil (20%) dan Turki (26%).
Spiro berkata, hikmah kecil di sebaliknya ialah pelabur institusi tempatan Malaysia seperti dana pencen yang dikawal kerajaan, akan diharapkan untuk memperbaiki keadaan apabila pelabur asing “yang tidak bertanggungjawab” mengurangkan pegangan mereka ketika tempoh tekanan kewangan.
“Malah, perkembangan pangkalan institusi pelabur domestik dalam pasaran bon EM, terutama negara Asia terus menyediakan asas kukuh untuk aset EM secara keseluruhan.
“Tetapi ini tidak banyak membantu melindungi kejatuhan harga minyak, yang menjadi kebimbangan utama Malaysia masa ini,” katanya. TMI

Tiada ulasan: