SPECIAL ADS

24 Disember 2014

PM digesa pertegas pendirian Malaysia isu Al-Qaradhawi

ALOR SETAR: Demokrasi dunia hari ini telah hancur apabila ulama mujahid yang tersohor dengan pandangan kesederhanaan, Prof. Dr Yusof al-Qaradhawi dituduh dan difitnah melakukan jenayah berat hingga menjadi buruan Polis Antarabangsa (Interpol).

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak untuk segera menyatakan pendirian tegas membela tohmahan dan siri baru kekerasan terhadap ulama tersohor dunia itu yang juga penerima Tokoh Maal Hijrah 2009 dari Kerajaan Malaysia. 

Interpol mengeluarkan Notis Merah pada 4 Disember lalu bertujuan untuk menahan Presiden Persatuan Ulama’ Sedunia itu setelah menerima desakan dari Regim Mesir pimpinan Presiden, Abdul Fattah Said Hussein Khalil as-Sisi

“Ini sebenarnya adalah agenda Kerajaan Regim As-Sisi terhadap inspirasi besar Ikhwanul Muslimin. Tidak hairan jika regim zalim ini memusuhi Qaradhawi. 

“Kerana ulama ini sememangnya diharamkan daripada menjejakkan kaki ke Mesir apabila keilmuan besar beliau berjaya menyuntik semangat gerakan Islam yang menggunakan jalan demokrasi dalam berdakwah,” demikian tegas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Menurutnya, tindakan Regim As-Sisi meletakkan pertuduhan “merestui, menghasut, dan membantu melakukan pembunuhan sengaja, membantu banduan melarikan diri, pembakaran, vandalisme dan mencuri” sebagaimana terkandung dalam Notis Merah adalah satu tidakan gila. 

Jelasnya, tidak masuk akal apabila seorang ulama berusia 88 tahun dan tersohor sebagai tokoh seruan kesederhanaan itu dihadapkan dengan pertuduhan melampau sedemikian. 

Malah katanya, tuduhan melakukan vandalisme dan mencuri sahaja sudah cukup tercela dikenakan kepada tokoh Maal Hijrah Malaysia itu.

“Kami berharap janganlah selepas Persidangan Umno yang cukup ghairah menyokong Akta Hasutan menjadikan kerajaan mengiyakan tuduhan Mesir terhadap ulama rujukan dunia ini dengan tuduhan sebagai penghasut. Jika menceritakan kebenaran itu sebagai hasutan, maka tiada lagi wujud ulama yang mengajar untuk kemaslahatan masyarakat.

“Kami juga menyokong pandangan bahawa tindakan Interpol adalah bias, cenderung kepada regim; walaupun regim itu sedang disiasat dan dipantau oleh banyak badan hak asasi yang menyaksikan kezaliman, penipuan dan kerosakan dibuat oleh Kerajaan Mesir terhadap musuh politiknya,” ujarnya kesal.

Katanya, dunia sedang menyaksikan, sejauh mana sekalipun bertentangnya tindakan regim As Sisi dengan terma-terma demokrasi ciptaan Barat, ia kekal didiamkan. 

Kerana jelasnya, begitulah cara Amerika dan sekutunya melaksanakan demokrasi iaitu hanya untuk kepentingan mereka sedangkan kebanyakan Negara dunia termasuk negara umat Islam dibiarkan tenggelam dalam arus totalitarian dan autokrasi.

“Kerajaan Malaysia mesti segera tunjukkan semangat wasatiyyah yang benar. Sikap ekstrem Mesir dan Interpol perlu ditegur jika benar Malaysia menjadikan moderat dan wasatiyyah sebagai pegangan. 

“Jangan wasatiyyah hanya sekadar konsep demi melunakkan agenda dakwah, keagamaan, sebaliknya kekerasan terhadap ulama dan umat Islam tidak pula diwasatiyyahkan,” tegur Ahmad Tarmizi.  HD

Tiada ulasan: