SPECIAL ADS

14 Disember 2014

Saya tidak akan tarik balik laporan polis 1MDB, kata pemimpin Umno

Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan tidak akan berganjak dengan keputusannya yang mahu pihak berkuasa menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lapor Sinar Harian hari ini.
Khairuddin berkata, beliau tetap dengan keputusannya dan tidak akan menarik semula laporan polis dibuat kelmarin, bahkan sedia meletak jawatan jika diminta oleh Umno.
Jelasnya, tiada sebab boleh membuat beliau menarik semula laporan itu memandangkan ia bukan tentang Umno.
"Saya tidak sentuh syarikat Umno, presiden Umno atau menteri kewangan tetapi mahu polis siasat secara telus dan menyeluruh aktiviti pentadbiran dan urus niaga dana dan kewangan 1MDB," kata Khairuddin.

Kontroversi berkaitan dana negara 1MDB berterusan ekoran pendedahan ia terpalit dengan hutang berbilion ringgit. – Gambar Reuters, 14 Disember, 2014.
Menurutnya, dia dihubungi pimpinan Umno Pulau Pinang yang mahu beliau menarik semula laporan itu kerana dikatakan tindakan itu seolah-olah menikam Umno dari belakang.
Beliau juga sudah dipanggil oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor ke rumahnya tengah hari semalam, di mana mereka berbual panjang mengenai isu 1MDB ini.
"Beliau ada nasihatkan saya menarik semula laporan itu, tapi, saya tegaskan perkara ini tidak akan berlaku walaupun mereka ini sahabat- sahabat saya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB dan menuntut siasatan dibuat ke atas anak syarikat milik kerajaan itu.
Menurut Khairudin, beliau membuat laporan polis itu bukan ditujukan kepada Umno sebaliknya mahu polis menyiasat syarikat itu.
Isu 1MDB menjadi hangat dengan pelbagai pihak bercakap mengenainya dan meminta kerajaan khasnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera bertindak.
Mereka bimbang ia akan menganggu ekonomi negara jika tidak diselesaikan dengan segera.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi antara pengkritik paling lantang mengenainya.
Semalam, wartawan veteran Datuk A Kadir Jassin berkata beberapa pegawai tinggi 1MDB dimarahi Dr Mahathir dalam satu pertemuan.
Bekas menteri kewaangan Tun Daim Zainuddin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu tahu mengenai urusan perniagaan mereka, tetapi tiada tindakan proaktif daripada 1MDB membuat penerangan.
"Mereka berdiam diri dan apabila menerima tuduhan daripada PR, tiada jawapan balas dan tidak menafikan perkara tersebut.
"Jadi, apa cara paling baik untuk selesaikan masalah ini?
"Jadi, kita serahkan segala-galanya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat," kata Khairuddin seperti dilaporkan Sinar Harian.
Menurutnya lagi, ramai yang menyokong tindakan beliau dan berharap Umno akan terus bersih daripada rasuah dan perkara negatif.
"Mereka ucapkan syabas kepada saya kerana keberanian yang ditunjukkan ini. Saya bukan nak nama. Perjuangan saya ikhlas demi melihat Umno kembali menjadi kepercayaan rakyat. Umno masih menjadi pilihan rakyat termasuk mahasiswa, tetapi kerana sikap segelintir pemimpin membuatkan rakyat menjadi marah," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan ada pemimpin besar di belakangnya, Khairuddin berkata, beliau tidak dipengaruhi mana-mana pemimpin besar parti.
"Saya dengar keluh kesah rakyat. Saya mahu yang salah diperbetulkan. Itu sahaja," katanya.
"Bukan sembarangan nama dikaitkan, contohnya masa laporan dibuat, adalah serentak dengan mesyuarat Kabinet yang bincangkan mengenai 1MDB.
"Ia kebetulan sahaja," katanya kepada akhbar itu. TMI

Tiada ulasan: