KUALA LUMPUR : Ketika sebahagian rakyat Malaysia menderita akibat banjir dan ada antara mereka masih terperangkap, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berseronok bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.
The Washington Post hari ini melaporkan, Najib antara empat orang termasuk Joe Paulsen dan Mike Brush, bermain golf bersama Obama di pengkalan Marine Corps, Kanehoe Bay di kepulauan Hawaii.
Obama dilapor mahu mengukuhkan hubungan kerja yang lebih baik dengan Najib, selepas mengadakan lawatan julung-julung kali ke Malaysia pada April lalu.
Namun ketiadaan Najib ketika negara dilanda krisis dilihat sebagai tindakan tidak bertanggungjawab di saat rakyat Malaysia terjejas teruk akibat banjir.
Pada masa ini, puluhan ribu penduduk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Perak dipindahkan ke penempatan sementara ekoran banjir yang melanda beberapa daerah di negeri itu.
Keadaan banjir dilaporkan semakin buruk pada malam tadi dengan jumlah mangsa terpaksa dipindahkan terus meningkat kepada 90,250 orang.
Pada waktu yang sama, keadaan ekonomi makin tidak menentu dengan kejatuhan nilai ringgit, harga komoditi getah dan kelapa sawit merudum, serta kejatuhan saham syarikat Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV).
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut mengkritik Najib secara terbuka kerana kegagalannya mengurus ekonomi dan mengingatkan Najib supaya mengurangkan perbelanjaan bagi mengekang defisit berterusan.
Najib juga berdepan kritikan bertubi-tubi dari Mahathir akibat kerugian besar ditanggung syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Satu laporan polis turut dibuat oleh seorang pemimpin Umno bahagian di Pulau Pinang.
Najib dan isterinya Datin Rosmah Mansor sebelum ini juga menerima banyak kritikan kerana kerap mengadakan lawatan ke luar negara dan menggunakan pesawat peribadi bagi percutian peribadi.
Malah Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali baru-baru ini mengingatkan Najib agar mengurangkan percutian di luar negara atau berdepan risiko hilang jawatan.
Selain itu, ahli akar umbi Umno turut memintanya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden parti itu. KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan