SPECIAL ADS

22 Disember 2014

Putrajaya mungkir janji naikkan gaji pekerja

Institut Rakyat mendakwa gaji pekerja tidak akan naik kerana Putrajaya mengabaikan langkah untuk meningkatkan peratusan gaji daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 40%, sekaligus usaha ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 tersasar.
Pengarah eksekutif badan pemikir PKR, Yin Shao Loong itu berkata paras 33.6% gaji pekerja Malaysia daripada KDNK ketika ini adalah rendah jika mengikut piawaian antarabangsa.
Kritikan Yin dibuat susulan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar membuat kenyataan bertentangan apabila mengatakan kerajaan tidak berhasrat mencapai sasaran 40% gaji daripada KDNK dalam satu wawancara baru-baru ini.
"Wahid Omar dalam wawancara hujung minggu lalu dengan The Edge Weekly membuat kenyataan bertentangan dengan sasaran menteri kewangan apabila mengatakan kami tidak berhasrat untuk mencapainya menjelang 2020," kata Yin dalam satu kenyataan hari ini.
Yin menyifatkan kenyataan Wahid tersebut membelakangi komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan, yang berjanji sebelum ini dalam pembentangan Bajet 2015 untuk meningkatkan pembayaran gaji 40% daripada KDNK menjelang 2020.
"Ini semua berita buruk kepada pekerja di Malaysia yang mengharapkan gaji tinggi, perkongsian lebih baik dalam bahagian ekonomi dan perkembangan yang lebih inklusif," katanya.
Bagi tahun 2013, data lengkap menunjukkan hanya 33.6% daripada KDNK dibayar untuk gaji pekerja, 64.2% disimpan majikan sebagai lebihan, dan hanya 2.2% dikutip sebagai cukai.
Perkongsian gaji di Malaysia dibelenggu selama beberapa dekad. Pada tahun 1971, 33.8% daripada KDNK dibayar sebagai upah, 51.7% lebihan operasi majikan, dan cukai meliputi pecahan yang lebih tinggi sebanyak 14.5% daripada KDNK.
"Dalam pertemuan dengan Joseph Stiglitz pada September, penerima anugerah ekonomi Nobel Laureate juga menyatakan kebimbangan kepada Institut Rakyat terhadap paras gaji rendah yang dibayar kepada pekerja.
"Analisis Institut Rakyat daripada sasaran Bajet 2015 perkongsian 40% menjelang 2020 seperti dicadangkan kerajaan juga tidak bersungguh dalam menilai peningkatan perkongsian gaji daripada KDNK," katanya.
Yin juga menggesa supaya kerajaan menangani isu ketirisan serta rasuah serta tidak membuat pelaburan membazir seperti 1MDB, sebaliknya berusaha meningkatkan paras gaji pekerja Malaysia. TMI

Tiada ulasan: