"Jika mereka tidak mengempiskan perut dan mengikat tali pinggang, hutang Malaysia dijangka meningkat menjadi RM1.3 trilion pada tahun 2020.
"Sikap boros, membazir, rasuah serta membiarkan ketirisan menjadi penyebab kepada hutang negara yang semakin meningkat," ujar Dr Rosli.
Beliau berkata bahawa sehingga kini sudah 16 tahun berturut-turut bajet Malaysia mengalami defisit, iaitu pendapatan kurang daripada perbelanjaan.
"Contohnya dalam sebuah rumah, katakan pendapatan RM2000, tetapi perbelanjaan RM2,500 jadi tiap-tiap bulan mereka berhutang RM500 untuk menampung perbelajaan. Sama juga dengan negara kita, pendapatan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan akibat boros dan membazir.
"Apabila pendapatan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan, kerajaan mula memikirkan untuk menambah hasil pendapatan negara dengan mengenakan cukai GST yang menekan rakyat." ujar beliau yang juga Pengarah Urusan Harakah.
Dr Rosli menyatakan bahawa GST dikenakan kepada semua lapisan rakyat tidak kira orang kaya, peminta sedekah dan fakir miskin.
"Sesiapa juga yang membeli barang keperluan dan perkhidmatan yang dikenakan GST sudah tentu terpaksa membayar GST.
"Memang GST tidak dikenakan kepada beras dan sebagainya tetapi jika kita makan di restoran atau kedai mamak, sudah tentu kita akan kena bayar GST," tambah beliau.
Menurutnya, para pekedai dan peniaga boleh mendapat balik cukai GST yang dibayar dari kerajaan, tetapi rakyat terbanyak tidak dapat bayaran balik dan merekalah yang paling teraniaya.
"Sudah tentu Harga barangan akan naik dan rakyatlah yang terpaksa berbelanja lebih akibat kenaikan harga barang," ujar Dr Rosli.
Beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya membuat perubahan bagi menyelamatkan negara yang tercinta ini.
"Jika pemimpin negara dan kerajaan tidak ditukar, sudah pasti Malaysia akan bangkrap dan rakyat akan bertambah sengsara.
"Sekarang ini hutang negara sudah melebihi 55 peratus daripada jumlah pendapatan dan kadar ini membuktikan bahawa negara berada di ambang muflis seperti yang dialami oleh Greece," ujar beliau
Menurutnya hanya ada satu jalan sahaja untuk menyelamatkan negara daripada bangkrap iaitu dengan menukar kerajaan pada PRU14 nanti.
Beliau berkata demikian pada ceramah umum anjuran Jentera Pilihanraya Dun Ayer Molek dan PAS Kawasan Ayer Molek di Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil di Pekan Ayer Molek. Selain Dr Rosli Yaakob, turut berceramah bersamanya ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Amiruddin Shari. HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan