SPECIAL ADS

29 Disember 2014

Himpunan mega bulan depan gesa Melayu muhasabah diri

Barisan ahli panel yang terlibat dalam forum mengenai kebangkitan Melayu di Canseleri, UiTM Shah Alam, hari ini. Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Datuk Dr Hasan Mad (empat dari kanan) menyeru masyarakat Melayu di negara ini bermuhasabah diri bagi menangani ancaman yang wujud sesama mereka. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Disember, 2014.
Orang Melayu di negara ini diseru bermuhasabah diri bagi menangani ancaman yang wujud sesama mereka, kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr Hasan Mad.
Menyedari keperluan itu, katanya MPN bersama enam agensi masyarakat Melayu akan mengadakan Program Lancarkan Gerakan Renaisans Melayu pada 10 Januari, bertujuan mengukuhkan perpaduan Melayu yang kini berpecah belah.
"Perhimpunan ini menjemput semua orang bersama-sama mengukuhkan ideologi sebagai ahli sunnah wal jamaah, agar semua tingkah laku kita sentiasa berada dalam bimbingan syariat Allah," kata Hasan.
Bercakap pada satu sidang media di Canseleri Universiti Teknologi Mara (UiTM), di Shah Alam hari ini, beliau menyifatkan perhimpunan itu yang kedua dalam gerakan kebangkitan besar-besaran orang Melayu.
Ia katanya bagi mengulangi gelombang pertama gabungan kesatuan Melayu, iaitu yang melahirkan Umno, pada perhimpunan yang diadakan 2 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.
Himpunan mega itu akan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, akan menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mensasarkan sambutan lebih 20,000 pengunjung.
"Perpecahan Melayu bukan sekadar isu politik, tetapi juga dalam memilih fahaman itu sendiri. Tidak semua orang Melayu memilih fahaman ahli Sunnah wal Jamaah, ramai juga memilih syiah dan liberal, dan menyokong LGBT," kata Hasan, merujuk kepada golongan lesbian, biseksual, gay, dan transgender.
"Jadi jangan bila sebut pecah Melayu, hanya fokus kepada PAS, PKR dan Umno," katanya.
"Banyak lagi faktor menyebabkan orang Melayu ini berpecah."
Hasan berkata, ancaman terhadap orang Melayu datangnya dari dalaman Melayu itu sendiri.
"Perpaduan orang Melayu mudah dipecahkan dan agak rapuh," katanya.
Katanya, cabaran Gerakan Renaisans Melayu sudah bermula apabila terdapat pihak di kalangan komuniti Melayu itu sendiri yang tidak bersetuju dengan perjuangan yang dibawa mereka.
"Cabaran sudah bermula, bukan sekadar puak-puak lain yang cuba memecah-belahkan orang Melayu, tapi orang Melayu sendiri akan ada yang tidak setuju. (Tetapi) Itu tidak jadi hal bagi kami.
"Ancaman ini lebih kepada ancaman dalaman. Jadi, orang Melayu perlu muhasabah diri," katanya.
Himpunan itu katanya turut menjemput penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa dan Isma.
"Kami terbuka, semua NGO dijemput - Perkasa, Isma, individu, sesiapa sahaja, terbuka. Rasa diri hebat dan ingin jadi hebat, mereka boleh hadir.
"Setiap NGO ada matlamat masing-masing, tapi ada program perpaduan yang sama," kata Hasan.
Himpunan berkenaan akan turut melibatkan aktiviti jualan dan pameran dan kemuncaknya ialah gimik agenda besar bagi komuniti Melayu yang dijadualkan berlangsung pada malamnya.
Selain MPM, antara pihak yang terbabit dalam penganjuran program itu ialah UiTM, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Teraju, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Biro Tata Negara (BTN). TMI

Tiada ulasan: