SPECIAL ADS

12 Disember 2014

Najib dalam bahaya, Muhyiddin dilapor pengerusikan mesyuarat Kabinet bincang 1MDB..

Isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang kontroversi dibincangkan pada mesyuarat Kabinet minggu ini Rabu lepas, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas ia dibangkitkan seorang menteri, menurut sumber hari ini.

Dana kekayaan negara kedua Malaysia itu menjadi perhatian kerana hutang dan ketidakupayaannya mengemukakan akaun mengikut masa, mengundang kritikan dari ahli Parlimen pembangkang, malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu sedang mengadakan lawatan rasmi ke Korea Selatan dan tidak menghadiri mesyuarat Kabinet.

The Malaysian Insider difahamkan yang beberapa menteri melahirkan kebimbangan kerana mereka tidak tahu menahu mengenai 1MDB dan tidak dapat memberi penerangan yang jelas mengenai syarikat pelaburan itu.

1MDB sedang dalam proses menyenaraikan aset tenaganya dan juga terlibat dalam projek pembangunan hartanah Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur.

1MDB ialah dana kekayaan negara kedua selepas Khazanah Nasional Berhad.

Pengkritik sekian lama mempertikaikan 1MDB dari segi hutangnya yang banyak, penggunaan wangnya dan operasinya yang kabur.

Dalam masa hanya lima tahun beroperasi, dana itu mengumpul RM38 bilion hutang tetapi kerisauan yang dilontarkan terhadap kestabilan kewangannya diketepikan pengerusinya Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin yang berkata asetnya berjumlah RM51.4 bilion, kira-kira RM2.5 bilion lebih daripada liabilitinya yang berjumlah RM48.9 bilion pada 31 Mac tahun ini.

Diserang kerana pelaburannya di Cayman Islands – pangkalan bagi operasi dana lindung nilai – Putrajaya mengumumkan 1MDB akan membawa balik semua pelaburannya sebelum akhir tahun, walaupun mencatat pulangan sebanyak 6% hingga 7% pada akhir tahun lepas.

Dr Mahathir terus-terusan mengkritik 1MDB, menegaskan yang dana itu tidak perlu diwujudkan kerana ia hanya menambah hutang negara.

"1MDB dikatakan dana kekayaan berdaulat, tetapi sebenarnya tidak. Ia wang yang kita pinjam. Apabila kita meminjam, kita perlu membayar balik. Ini bukan kekayaan.

"Pada pendapat saya, tidak ada 1MDB pun takpa," negarawan itu dipetik sebagai berkata dalam laporan berita apabila ditanya sama ada dana itu perlu ditutup.

Pemimpin pembangkang, Tony Pua (DAP) dan Rafizi Ramli (PKR), juga mempertikaikan penyelewengan yang dikesan dalam dana itu, termasuk kegagalan mengemukakan penyata kewangan pada masanya.

Bulan lepas, Najib yang juga pengerusi 1MDB, menghantar surat tuntutan kepada wakil rakyat DAP itu berhubung kenyataannya mengenai 1MDB yang didakwa berunsur fitnah, menyebabkan Najib malu dan menerima tekanan hebat. 

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun meminta Pua menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf dalam dua akhbar nasional, atau menghadapi tindakan undang-undang kerana ucapannya yang terkandung dalam satu video bertarikh 3 November bertajuk: "Tony Pua: Najib mewujudkan skandal terbesar di dalam sejarah Malaysia".

Pua juga diminta mengeluarkan video itu daripada Internet, berhenti membuat kenyataan fitnah dan membayar ganti rugi kepada Najib atas kenyataannya.

Ini mendorong pemimpin veteran DAP, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang menggesa Najib membuat kenyataan menteri mengenai 1MDB yang dicemari skandal itu bagi membuktikan yang dia bukannya sedang cuba menutup ruang kepada persoalan orang ramai dan perbahasan Parlimen tentang keadaan kewangan dana negara itu ~ The Malaysian Insider

Tiada ulasan: