JAKARTA: Ketua Operasi Tentera Udara Indonesia, Marsyal Dwi Putranto berkata, operasi mencari menemui sesuatu di kawasan perairan dalam zon pencarian pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang semalam.
Laman web Channel News Asia melaporkan, bagaimanapun Dwi berkata, pihaknya tidak boleh mengesahkan sama ada ia merupakan serpihan pesawat terbabit.
Objek itu dikesan oleh pesawat Australia kira-kira 1,1246 kilometer dari kedudukan akhir pesawat terbabit.
Pesawat Airbus A320-200 dengan 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad, sebelum terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi. Ia dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi waktu tempatan.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott hari ini berkata, kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 di Laut Jawa tidak boleh disamakan dengan kejadian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang tanpa kesan pada Mac lalu.
“Saya rasa adalah satu kesilapan untuk menyamakan apa yang berlaku dengan MH370. Ketika ini, kejadian MH370 merupakan satu misteri besar pada zaman ini. Tiada misteri dalam kehilangan pesawat QZ8501.
“Pesawat itu melakukan penerbangan pada laluan biasa mengikut jadual biasa. Apa yang berlaku mungkin diakibatkan oleh cuaca buruk. Ia bukan satu misteri seperti kehilangan MH370 dan bukan tragedi ngeri seperti dalam kejadian pesawat MAS MH17 ditembak jatuh,’’ katanya kepada stesen radio Sydney 2GB, lapor AFP.
Australia mengetuai pencarian pesawat MH370 yang hilang ketika membawa 239 orang dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu. Pesawat MH370 dipercayai terhempas di Lautan Hindi berdekatan kawasan perairan Australia selepas tidak mengikuti laluan penerbangannya. Pencarian udara dan dasar laut gagal menemui bangkai pesawat berkenaan.
Pesawat MH17 pula ditembak jatuh pada 17 Julai lalu di kawasan timur Ukraine yang menyaksikan 298 penumpang dan anak kapal terbunuh. FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan