SPECIAL ADS

11 Disember 2014

Demokrasi Bugis asas MB Selangor hargai Umno

Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata, pentadbirannya meraikan Umno sebagai pembangkang berdasarkan prinsip dalam tradisi demokrasi Bugis demi menjaga kepentingan rakyat.

"Tradisi Bugis menanam benih-benih demokrasi, atau istilah Bugisnya amaradekangeng.

"Berilhamkan falsafah amaradekangeng, pentadbiran patik turut menyantuni pembangkang kerana mereka adalah sebahagian dari demokrasi.

"Maksud patik hanya semata-mata untuk memajukan demokrasi dan agar pembangkang turut berkhidmat menjaga kepentingan rakyat Tuanku," kata Azmin.

Menteri besar berkata demikian dalam ucapan sempena hari keputeraan sultan Selangor ke-69 hari ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan sultan berketurunan bangsa Bugis.

Hang Tuah dari Bugis Guwa

Kerajaan baru-baru ini mengambil pendekatan berbeza terhadap pembangkang apabila mahukan mereka diberi peranan memantau ketelusan kewangan negeri melalui pemberian jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) kepada ketua pembangkang.

Negeri juga menganugerahkan kereta rasmi kepada ketua pembangkang daripada Umnp dan meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 setahun kepada anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.

Pembangkang bagaimanapun menolaknya.

Sementara itu, ucapan Azmin juga mengingatkan, Bugis dalam sejarah Nusantara banyak memberi sumbangan kepada tradisi pemerintahan dan politik kenegaraan Melayu.

Dalam budaya Melayu, katanya, berlaku pertembungan kreatif yang saling “pinjam-meminjam, pulang-memulang” antara budaya.

Memetik kitab sejarah Melayu lama, Tuhfat al-Nafis, Azmin berkata, pahlawan terkenal Hang Tuah dikirimkan kepada kerajaan Melayu Melaka sebenarnya berasal daripada Bugis Guwa. MK
 

Tiada ulasan: