SPECIAL ADS

15 Disember 2014

Hutang 1MDB: Najib batal cuti atau letak jawatan


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar‎ meminta kerajaan menjelaskan kesan yang diterima tabung-tabung milik rakyat berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Kata beliau, tabung-tabung milik rakyat seperti Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)‎ terutamanya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan pemberi pinjaman utama kepada 1MDB.

"Kita ingin tahu sejauh mana terkesan kepada tabung-tabung ini akibat dari beban hutang 1MDB sebanyak RM41.6 bilion pada Mac lalu.

"KWSP‎ merupakan pemberi pinjaman secara terus kepada 1MBD dan saya tidak pasti sejauh mana penglibatan KWAP, Tabung Haji dan juga LTAT.

"Jika ia ada penglibatan, kerajaan harus perjelaskan kepada rakyat kerana ke semua duit itu milik rakyat," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Menurutnya, individu-individu yang terlibat di dalam 1MBD mempunyai pengaruh secara langsung di dalam tabung-tabung milik rakyat itu.‎

‎Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan tentang kedudukan kewangan tabung-tabung berikutan skandal hutang 1MBD.

"Secara jelas kita dapat menjangkakan ia akan memberi kesan secara langsung kepada kedudukan kewangan.

"Apabila 1MBD terlibat dengan hutang yang besar bagaimana pembayaran balik hutang ini dilakukan dan pasti pemberian dividen kepada penyimpan akan turut terjejas.

"‎Ini sangat penting dan kerajaan perlu tampil beri penjelasan agar rakyat tahu kedudukan kewangan mereka," sambung beliau lagi.

Mahfuz yang turut meminta agar Bank Negara Malaysia (BNM) tampil menjelaskan tentang pemintaan 1MDB untuk melanjutkan 'Non Performance' Loan (NPL)‎ dari tiga bulan kepada enam bulan.

"Adakah terdapat pemintaan 1MDB dalam melanjutkan tempoh ini dan jika ia dibenarkan BNM apa alasan kebenaran itu diberikan.

"Kita mahu semua pihak tampil menjelaskannya dan ini melibatkan kepentingan rakyat serta kedudukan ekonomi negara ini," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu beliau turut meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan percutiannya di luar negara dan balik menyelesaikan segala permasalahan yang timbul di negara ini terutama dalam isu 1MDB dan kedudukan mata wang negara.

Katanya, jika Najib ingin meneruskan bercuti, beliau perlu melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan berikan kepada mereka yang layak. HD

Tiada ulasan: