Pesawat Airbus 320-200 daripada Surabaya, Indonesia pada 5.20 pagi waktu tempatan (6.20 pagi waktu Malaysian) dan dijadual tiba ke Singapura dua jam selepas itu.
Ia bagaimanapun hilang kawalan dengan pusat kawalan trafik udara.
LAPORAN LANGSUNG
7.30pm: CEO Kumpulan AirAsia Tony Fernandes menyifatkan hari ini sebagai “mimpi terburuknya” tetapi meminta kakitangannya melakukannya yang terbaik untuk semua.
“Sebagai CEO kumpulan kamu saya akan berada bersama-sama untuk masa sukar ini,” katanya.
7.30pm: Pihak berkuasa Indonesia menamatkan operasi mencari dan menyelamat pesawat Air Asia yang hilang untuk hari ini dan akan bersambung semula esok pagi.
Wakil Presiden republik itu Jusuf Kalla dilaporkan berkata olehHarian Metro.
6.35pm: Satu-satunya penumpang Malaysia dalam pesawat itu dikenal pasti sebagai Sii Chung Huei.
Menurut New Straits Times, Sii seorang ahli perniagaan di Jakarta yang berasal daripada Kuching.
6.24pm: Dalam perkembangan berbeza, NST melaporkan sebuah lagi pesawat AirAsia AK6242 daripada Pulau Pinang ke Langkawi berpatah balik ekoran masalah teknikal.
23 orang tak daftar masuk
5.50pm: Senarai penumpang yang dikeluarkan oleh menteri pengangkutan Indonesia menunjukkan bahawa 23 orang penumpang yang sepatutnya berada dalam pesawat itu tidak menaikinya.
Daripada 177 penumpang, hanya 153 orang menaiki pesawat itu, menurut laman web berita British Mirror.
Seramai 23 orang dilaporkan tidak mendaftar masuk.
5.30pm: Pengilang pesawat itu Airbus mengeluarkan kenyataan bahawa pesawat itu berumur enam tahun dan dihantar kepada AirAsia pada 2008.
Menggunakan enjin CFM 56-5B, kata Airbus pesawat itu terlibat lebih kurang dengan 23,000 jam penerbangan dan tiada maklumat tepat buat masa ini.
Airbus berkata akan memberikan “bantuan penuh” untuk pihak yang menyiasat insiden itu.
M'sia hantar pesawat, 3 kapal bantu carian
5.20pm: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia telah menggerakkan pesawat C-130 Hercules dan tiga kapal laut bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, Malaysia turut menubuhkan Pusat Operasi Menyelamat (RCC) di Pusat Kawalan Udara Kuala Lumpur bagi membantu penyelarasan penyelamatan.
4.40pm: Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi (bawah) berkata beliau mengharapkan yang terbaik untuk pesawat QZ8501.
“Kita semua berdoa, saya dan seluruh rakyat Indonesia.
“Kita berdoa supaya penumpang dan anak kapal AirAsia QZ8501 yang hilang perhubungan pulang dengan selamat,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Tribunnews.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata beliau sedih dengan insiden yang berlaku.
Lee juga dilapor bercakap dengan Jokowi dan menawarkan bantuan daripada negara itu.
Tony terbang ke Surabaya
4.20pm Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes mengumumkan bahawa beliau menuju ke Surabaya untuk memantau keadaan di sana.
“Dalam perjalanan ke Surabaya, di mana kebanyakan penumpang daripada sana, bersama pegawai pengurusan saya di Indonesia,” katanya di Twitter.
3.45pm Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini mengadakan mesyuarat mengenai hilangnya pesawat AirAsia QZ8501 meskipun beliau sedang bercuti di Hawaii, lapor Reuters.
"Presiden Barack Obama telah mengadakan mesyuarat mengenai hilangnya pesawat AirAsia QZ8501," jurucakap kerajaan Eric Schultz dipetik sebagai berkata.
Eric juga berkata, Obama telah menerima semua laporan termasuk status terakhir penerbangan itu.
3.41pm: Kerajaan Indonesia menafikan pihaknya telah mengesahkan laporan bahawa penerbangan QZ8501 terhempas di Pulau Belitung Timur di Laut Jawa, lapor Astro Awani.
Pengarah Kementerian Udara dan Perhubungan Djoko Murjatmodjo dilaporkan berkata pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai keadaan pesawat tersebut.
3.00pm: Menurut CCTV China, yang memetik pihak berkuasa Indonesia, “tiada kemungkinan” untuk QZ8501 terus terbang selepas hilang perhubungan kerana pesawat itu hanya mempunyai minyak yang mampu bertahan cuma empat jam setengah.
Pesawat itu hilang perhubungan semasa perjalanan ke Singapura. Kebanyakan laluanya melalui kawasan laut.
2.40pm: Agensi berita nasional Indonesia Antara melaporkan bahawa pesawat itu terhempas kira-kira 145km dari Pulau Belitung.
Antara memetik pegawai Agensi Mencari dan Menyelamat (Basarnas) sebagai berkata demikian, lapor Jakarta Post.
Pesawat itu dipercayai berputar-putar di udara bagi mengelakkan ribut sebelum terhempas ke laut.
2.25pm: CCTV China di Twitter melaporkan bahawa bangkai sebuah pesawat ditemui di timur Pulau Belitung, Indonesia.
Tiada maklumat lanjut dinyatakan, mahu pun pengesahan AirAsia atau mana-mata pihak berkuasa berhubung perkara itu.
2.05pm: Ketua operasi mencari dan menyelamat di Belitong Joni Supriadi berkata, pihaknya sedang mempersiapkan sebuah kapal menyelamat ke Belitung.
Bagaimanapun, keadaan cuaca buruk mungkin menyukarkan operasi ke lokasi yang dikatakan jatuhnya pesawat Air Asia itu.
“Namun cuaca yang sangat buruk sehingga kapal Belitung Ekspress ke Pangkal Pinang tidak dapat meneruskan perjalanan hari ini,” katanya dalam Kompas TV.
1.50pm: AirAsia Indonesia berkata, pesawat QZ8501
telah meminta pertukaran laluan disebabkan keadaan cuaca, sebelum komunikasi terputus semasa bawah kawalan Pusat Kawalan Udara Indonesia (ATC).
Berikut maklumat daripada AirAsia Indonesia:
Penerbangan QZ8501 dari Surabaya ke Singapura terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada 07:24 (waktu tempatan Surabaya) pagi ini.
Penerbangan berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya pada 5:35 pagi.
Dua orang juruterbang, empat orang anak kapal dan seorang jurutera bertugas dalam penerbangan.
Kapten yang mengemudi pesawat mempunyai 6,100 jam penerbangan dan pegawai pertama / penolong juruterbang mempunyai 2,275 jam penerbangan.
Terdapat 155 penumpang dalam penerbangan, dengan 138 dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi. Turut berada dalam penerbangan ialah dua orang juruterbang dan lima anak kapal.
Kerakyatan penumpang dan anak kapal seperti berikut: 1 Singapura, 1 Malaysia, 3 Korea Selatan dan 157 Indonesia.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan bawah pimpinan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Indonesia (CAA).
Pesawat tersebut melalui penyelenggaraan berjadual terakhir pada 16 November lalu.
1.49pm: Ketua tentera udara Indonesia, Marsma Hadi Tjahjanto berkata pihaknya mengerahkan anggotanya ke wilayah Belitung untuk menyiasat perkara itu.
“Hari ini angkatan udara menerbangkan Boeing 737 dari Makassar menuju ke tempat yang dikatakan jatuhnya pesawat AirAsia itu.
"Mengikut radar pesawat itu jatuh di atas Laut Jawa berdekatan Belitung.
“Kita akan mencari pesawat itu dengan pesawat yang kita miliki.
"Dan sekiranya kita menemui objek seperti pesawat kita akan melaporkannya,” katanya seperti disiarkan Metro TV Indonesia.
1.20pm: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tony Fernandes berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan terkini tidak lama lagi.
Menulis di Twitter, beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan dan doa orang ramai.
1.11pm: Orang ramai dinasihat hanya terima maklumat sahih daripada AirAsia berhubung kehilangan pesawat AirAsia Indonesia, kata menteri penerangan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, lapor Bernama.
1pm: Menurut laman web pengesan penerbangan FlightRadar24, pesawat QZ8501 hilang daripada radar di barat laut, Laut Jawa.
Kawasan di lintasannya termasuk Pulau Belitung dan Pulau Bangka.
FlightRadar24 melaporkan, sebelum penerbangan hari ini, QZ8501tiba ke Surabaya daripada Kuala Lumpur pada 8.45 malam (waktu tempatan) tadi dan mendarat pada 10.20 malam (waktu tempatan).
Statusnya kini disenaraikan sebagai tidak diketahui.
12.50pm: CNN Indonesia laporkan bahawa lokasi terakhir pesawat itu dikesan sekitar Pulau Betilung, Sumatera.
Memetik bangkapos.com, Kompas pula melaporkan “sebuah pesawat” dikhabarkan jatuh di perairan laut Belitung Timur namun titik lokasinya belum dapat dipastikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan