SPECIAL ADS

23 Disember 2014

Jakim minta Interpol tarik balik waran tangkap Yusuf al-Qaradawi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menggesa Polis Antarabangsa (Interpol) menarik balik Notis Merah atau waran tangkap terhadap tokoh ulama Islam Mesir, Dr Yusuf al-Qaradawi.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata terdapat pihak tertentu cuba mengenakan tindakan undang-undang terhadap Yusuf tanpa asas dan siasatan yang merupakan satu penganiayaan terhadap ulama.
Beliau berkata tindakan seumpama itu akan menyentuh sensitiviti umat Islam dan dikhuatiri akan mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana Yusuf adalah tokoh ulama rujukan semasa bagi masyarakat Islam.
"Kita juga berpandangan tuduhan yang melabelkan beliau sebagai militan dan menyeru kepada keganasan adalah tidak berasas.
"Buktinya, pemimpin ulama sedunia berkenaan menyatakan pendirian beliau terhadap deklarasi kekhalifan Islam oleh Isis pada 5 Julai 2014 adalah melanggar syariah malah setiap pandangan dan fatwa beliau mempunyai asas yang tidak boleh dipertikai," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut laman web Interpol pada 5 Disember lalu, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan terhadapnya selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir bagi pendakwaan dan sabitan hukuman kerana dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, aktiviti vandalisme dan kecurian.
Yusuf yang kini menetap di Qatar dituduh mempunyai kaitan dengan insiden kekecohan ahli kumpulan Ikhwan Muslimin di dalam penjara dan penentangan terhadap pemimpin diktator Mesir Hosni Mubarak.
Othman menyeru semua pihak mempertimbangkan ketokohan ilmu Yusuf kerana sumbangannya dalam dunia perundangan Islam, penulisan dan kefatwaan beliau yang bersifat kontemporari.
Katanya, Malaysia pernah menobatkan Yusof sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009 berdasarkan antaranya keilmuan beliau, keserderhanaan yang diamalkan dan termasuklah menghormati sistem demokrasi yang harmoni. TMI

Tiada ulasan: