SPECIAL ADS

31 Disember 2014

QZ8501 dijumpai, perasaan Tony hancur luluh

Tony Fernandes
KUALA LUMPUR - AirAsia Indonesia mengaku serpihan yang dijumpai semalam adalah daripada penerbangan QZ8501 yang hilang, seperti yang disahkan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Republik Indonesia (Basarnas).
   
Dalam kenyataannya, syarikat penerbangan berkenaan berkata, serpihan pesawat Airbus A320-200 itu dijumpai di Selat Karimata, kira-kira 110 batu nautika ke barat daya Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah.
   
Ketua pegawai eksekutif kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perasaannya hancur luluh dengan perkembangan itu.
   
"Ini adalah detik yang amat getir bagi kami semua di Air Asia dalam menanti perkembangan selanjutnya tentang operasi mencari, tetapi perkara yang menjadi keutamaan kami sekarang ialah kebajikan anggota keluarga mereka yang menaiki QZ8501," katanya.
   
Kenyataan itu berkata, Air Asia Indonesia akan menjemput anggota keluarga terbabit ke Surabaya di mana sekumpulan penjaga kebajikan yang dedikasi akan ditugaskan membantu setiap keluarga bagi memastikan semua keperluan mereka dipenuhi.
   
"Kaunselor, ahli agama dan pakar kerohanian juga diundang ke pusat keluarga untuk memberi apa jua khidmat yang diperlukan," katanya.
   
Kenyataan itu berkata, operasi mencari dan menyelamat kini diteruskan dan siasatan lanjut terhadap serpihan yang dijumpai juga sedang dijalankan.
   
Presiden Indonesia Joko Widodo memberitahu media bahawa semua aset udara dan maritim akan digunakan dalam gerakan mencari secara besar-besaran bagi mengesan pesawat itu, yang hilang daripada pengesanan radar pada Ahad ketika dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia.
   
Katanya, fokus sekarang ialah memungut mayat mangsa tragedi itu. Penerbangan QZ8501 membawa 162 penumpang dan anak kapal.
   
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia komited untuk memberi segala bantuan yang mungkin dan terus menyokong usaha mencari dan menyelamat yang sedang dilakukan dengan diterajui Indonesia.
   
"Malaysia sentiasa bersama-sama dengan keluarga dan orang tersayang mereka yang menaiki pesawat berkenaan dan kami mengutuskan ucapan takziah kepada mereka.
   
"Ini adalah detik-detik yang amat memedihkan bagi mereka yang berkenaan dan kami amat sedih dengan tragedi ini," katanya.
   
Pesawat Airbus itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad waktu tempatan dan dijadual mendarat di Singapura pada 8.20 pagi. Ia terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Indonesia sekitar 7.24 pagi waktu tempatan. - Bernama

Tiada ulasan: