SPECIAL ADS

12 April 2013

Debat : Mengelak Fitnah


12 Apr : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berpendirian sudah sampai masanya debat yang ditunggu oleh rakyat antara Anwar Ibrahim dan Najib Razak dilaksanakan.

Salah satu dari reformasi politik yang akan meningkatkan kematangan demokrasi di negara ini ialah debat terbuka antara pihak yang menyertai politik pilihanraya.

Walaupun debat belum menunjukkan ia satu budaya di negara ini agar mana-mana pihak kumpulan politik yang bertelagah pendapat mengenai bagaimana negara ini harus ditadbir  didebat secara bersemuka, namun kami berpandangan ia adalah wajar dibudayakan untuk memungkin pandangan masing-masing diketengahkan secara bersemuka untuk dihujah dihadapan khalayak awam.

Dalam Islam , “munaqashah” ( debat ) adalah suatu anjuran yang dibolehkan agar kebenaran dapat dijelaskan dan dengan sebab itu kebenaran akan dapat dipertahankan dengan lebih meyakinkan.

Tidak harus ada kecurigaan dalam hal ini. Debat adalah persoalan membentang pendapat untuk kemudian direspon oleh pihak lawan. Pokoknya ia berjalan dengan sihat , berhujah dengan berdasarkan fakta dan ilmu.

Pilihanraya adalah soal membentangkan program untuk rakyat membuat pilihan. Jika debat boleh memberi peluang kepada rakyat mendengar sendiri hujah dengan terbuka dan debat berjalan dengan suasana penuh adab , kenapa perlu ada ketakutan.

Rakyat tahu membedakan antara retorik dengan  hujah yang bernas. Debat yang berjalan dengan baik pasti akan dihormati oleh semua pihak kerana masa depan negara sangat penting ditentukan dengan rasional oleh pihak yang mahu  meraih mandat dari rakyat.

Kami kecewa nampaknya budaya fitnah dan manipulasi media dibuka seluasnya tetapi debat yang lebih bertamadun dan bermaruah pula diketepikan.

Apakah ini menandakan bahawa politik Malaysia lebih bersifat fitnah dan serangan peribadi ? Kenapa ahli politik BN memandang serong kepada debat , dialog dan forum yang seha? Apakah ada kebenaran dan kepincangan yang tidak mahu terdedah dihadapan khalayak ramai atau pemimpin yang tidak mampu berhujah untuk mempertahankan asas yang diperjuangkan.?

Kami mengalu-alukan sebarang penganjuran debat antara calon-calon yang bakal bertanding  di semua peringkat kawasan pilihanraya semada Dewan Undangan Negeri mahu Parlimen. Hanya dngan ini rakyat dapat mendengar keupayaan calon berhujah dan memberi sebab kenapa mereka harus dipileh oleh rakyat.
Jika semua calon dapat bersemuka dihadapan pentas debat yang boleh disaksi sendiri oleh pengundi maka pelbagai persoalan mengenai manifesto serta dakwaan dapat dihujahbalas.

Setelah 12 kali pilihanraya , kami yakin rakyat sudah cukup matang untuk mendengar dengan rasional dan menimbang dengan mendalam siapa dan parti mana yang mewakili aspirasi mereka.

Kedua tokoh tertinggi negara iaitu PM dan Ketua Pembangkang adalah figur penting dalam pilihanraya ke 13 . Rakyat berhak melihat secara sendiri kemampuan keduanya membentangkan pandangan mereka dengan hujah yang ilmiah dan matang. Tidak ada  kecurigaan yang harus dirisaukan selain kedua pendebat bersedia dan berlapang dada mendengar hujah lawan mengenai isu-isu urustadbir negara.

Jika kedua pemimpin ini dapat menunjukkan kematangan berhujah maka rakyat akan bertambah yakin bahawa reformasi politik benar-benar akan berlaku. Calon-calon diperingkat yang lain iaitu DUN dan Parlimen juga boleh melakukan yang sama.

* Mohd Azmi Abdul Hamid ialah presiden MAPIM

Tiada ulasan: