SPECIAL ADS

26 April 2013

Repot Kad Pakatan Rakyat Dibentang 01 Mei 2013


khalid ibrahim ceramah port klang 26 apr 01

KLANG 27 APR : Peningkatan pelaburan, peluang-peluang pekerjaan, limpahan program kebajikan di samping peningkatan simpanan negeri merupakan antara intipati ‘report card’ Pakatan Rakyat yang bakal dibentangkan pada 1 Mei nanti.
Bercakap satu ceramah di sini malam tadi, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pencapaian ini jauh berbeza dengan rekod
Umno-BN untuk tempoh lebih lima dekad lalu.
“Ukuran pertama adalah dari segi pelaburan, di mana dalam tempoh lima tahun pentadbiran kita, Selangor dapat menarik pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu RM 50 billion.
“Ini sekaligus membuka peluang pekerjaan baru berjumlah melebihi 127,000 di negeri ini,” jelas Abdul Khalid, calon PKR bagi DUN Pelabuhan Klang.
Pada masa yang sama Kerajaan Pakatan telah membelanjakan lebih RM 700 juta bagi merangka pelbagai program kebajikan untuk rakyat meliputi pelbagai usia dan golongan.
“Dahulu sewaktu zaman (bekas Menteri Besar Selangor) Khir Toyo, setelah saya semak saya dapati yang dia bagi pada rakyat adalah kira-kira RM 250 juta.
“Sekarang ini dengan apa yang kita telah kongsikan bersama rakyat, rakyat boleh lihat bahawa Kerajaan Pakatan boleh beri lebih lagi daripada apa yang diberikan Barisan Nasional (BN).
“Kita sudah tunjukkan dan buktikan bahawa kita dapat tambah pendapatan, kita dapat buat kebajikan dan kita dapat juga menyimpan,” tambahnya lagi.
Di bawah PR Selangor, simpanan negeri telah meningkat ke
RM 2.5 billion daripada 400 juta yang ditinggalkan Umno-BN pada 2007.
Justeru, beliau menggesa rakyat untuk terus memberi mandat kepada Pakatan bukan sekadar untuk mempertahankan Selangor tetapi untuk menawan Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru.
“Pada 5 Mei 2013 ini, marilah kita sama-sama pastikan bahawa pemerintahan Barisan Nasional telah tamat dan kita akan diperintah Pakatan Rakyat bagi membuktikan bahawa rakyat telah bangkit untuk rakyat dan demi rakyat,” ucapnya.

Tiada ulasan: