SPECIAL ADS

26 April 2013

PM Najib Seperti “Sesumpah Politik”


MB pc PKR hq 01
SHAH ALAM 27 APRIL : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sering mengeluarkan kenyataan berbeza-beza mengikut masa dan kumpulan masyarakat dalam siri kempen pilihan rayanya, tidak ubah seperti ‘sesumpah politik’.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas sikap bermuka-muka itu yang beliau sifatkan kerana Najib tidak mempunyai dasar yang jelas untuk membantu rakyat.
Abdul Khalid berkata, Najib menggunakan kenyataan-kenyataan yang berbaur populis, tanpa mempunyai idea bagaimana untuk menangani isu-isu yang membelit rakyat.
Ini dapat dilihat dari kegagalan Najib untuk membentangkan pelan membela nasib tujuh juta pekerja di negara ini.
“Contohnya dalam isu dasar kekurangan tenaga  pekerja, beliau hanya mengambil penyelesaian mudah dengan mengambil tenaga pekerja asing sedangkan apa yang perlu adalah dasar untuk meningkatkan produktiviti pekerja,” katanya.
Antara yang dibidas Abdul Khalid adalah janji gaji minima RM900 yang dicanang BN sebelum ini. Malangnya sehingga kini hasrat itu tidak terlaksana.
“Tambahan pula Presiden MCA Chua Soi Lek membantah cadangan tersebut kononnya akan memberi kesan kepada para majikan. Nampaknya BN tidak serius dan tidak faham tentang dasar gaji minima ini.
“Sebaliknya Pakatan Rakyat menjawab kegagalan itu di dalam manifesto untuk menawan Putrajaya menerusi dasar jelas yang di mana kita menjanjikan tabung RM2 bilion untuk melaksanakan dasar gaji minima RM1,100,”katanya.
Di Selangor, Pakatan Rakyat menyediakan bantuan untuk anak-anak syarikat kerajaan negeri melaksanakan dasar gaji minima RM1,500 sebulan untuk mengeluarkan pekerja daripada kemiskinan.

Tiada ulasan: